Tunggakan RM3 juta sejak 2010, Istana Budaya rangka SOP baharu sewaan

Bernama
Julai 21, 2020 18:11 MYT
Syarikat produksi yang masih mempunyai tunggakan hutang dengan Istana Budaya harus melunaskannya terlebih dahulu sebelum menempah slot pementasan baharu, tegas Zaiton.
Istana Budaya telah merangka prosedur operasi standard (SOP) baharu dari segi penyewaan premis bagi menangani masalah tunggakan hutang syarikat produksi yang dialami agensi itu sejak tahun 2010.
Ketua Pengarahnya, Zaiton Md Desa berkata, antara SOP yang ditentukan ialah syarikat produksi perlu melangsaikan hutang sedia ada sebelum menempah slot pementasan baharu selain perlu membayar pendahuluan mengikut kadar yang ditetapkan sebelum membuat pementasan.
"Bagi mengelakkan hutang bertambah, kita (Istana Budaya) perlu bertegas dengan semua pihak. Kita tidak mahu kejadian sama berulang lagi di kemudian hari," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Beliau berkata, sehingga hari ini terdapat 34 daripada 37 syarikat produksi yang menganjurkan persembahan di Istana Budaya masih belum melangsaikan hutang tertunggak berjumlah kira-kira RM3 juta sejak 2010.
"Ada (syarikat produksi) yang senang untuk membayar (hutang), cuma kadang-kadang kemampuan mereka terbatas. Kita juga memberi kelonggaran dengan menerima pembayaran secara ansuran tanpa dikenakan faedah.
"Buat masa ini, kita hanya dapat mengutip sejumlah RM100,000 sehingga Mac lepas kerana pembayaran hutang tertangguh ekoran pelaksanaan moratorium selama enam bulan," katanya.
Zaiton berkata, Istana Budaya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang kepada mereka yang masih culas.
"Kita akan memberi peringatan buat syarikat produksi yang terlibat, namun sekiranya masih lagi berdegil, kita tidak akan teragak-agak untuk menyenaraihitamkannya sebelum diambil tindakan undang-undang.
"Selepas ini, kita akan bersikap lebih agresif (dalam menuntut hutang) kerana ia memberi imej yang kurang baik kepada Istana Budaya," katanya.
Sementara itu, dalam pengamalan normal baharu, Zaiton berkata, syarikat produksi yang ingin menganjurkan pementasan di Istana Budaya perlu akur dan patuh dengan SOP yang telah ditetapkan.
Antara SOP yang diguna pakai Istana Budaya adalah penonton berumur 12 tahun ke bawah dan 60 tahun ke atas tidak dibenarkan memasuki dewan acara; proses pembasmian kuman dilakukan dua kali sehari sebelum dan selepas pementasan serta penganjur perlu mengehadkan masa pementasan iaitu satu jam setengah.
Katanya, keadaan itu turut memaksa syarikat produksi untuk menanggung semua kos tambahan terutama dalam operasi nyah cemar kuman demi keselamatan semua pihak.
"Mujur juga sekarang ini, syarikat produksi diberi pengecualian sewaaan premis sehingga RM15,000 selama enam bulan mulai 1 Jun lepas seperti yang diumumkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
"Tindakan itu juga sebenarnya membantu meringankan bebanan syarikat penganjur selepas lebih tiga bulan industri seni lumpuh akibat pandemik COVID-19," katanya.
Sehingga kini, sejumlah tujuh persembahan daripada syarikat produksi luar telah dipilih untuk pengisian slot tahun ini di Istana Budaya antaranya tarian balet 'Swan Lake', persembahan orkestra dari Asia Tradisional Orchestra, konsert Nama Rupa Gaya serta teater dari Jabatan Perkhidmatan Awam.
Tidak ketinggalan, Istana Budaya turut menerbitkan program sendiri antaranya Colours of Malaysia, Lambang Sari Series, teater Siti di Alam Fantasi dan konsert New Normal. - BERNAMA
#Istana Budaya #Ketua Pengarah Istana Budaya #normal baharu #penyewaan premis #prosedur operasi standard #syarikat produksi #tunggakan hutang #Zaiton Md Desa
;