Tunggakan permohonan visa dapat diatasi dalam tempoh dua minggu - Idris

Bernama
Januari 24, 2017 07:39 MYT
IDRIS: "Kita minta untuk menambah 10 pegawai imigresen tetapi KDN menambah sebanyak 26 pegawai bagi memastikan visa dikeluarkan dalam tempoh ditetapkan." - Gambar fail
Tunggakan kira-kira 4,000 permohonan visa pelajar yang belum diproses dapat diatasi dalam tempoh dua minggu berikutan penambahan pegawai imigresen, kata Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh.
Beliau berkata dalam perbincangan dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Imigresen baru-baru ini, kementerian memohon penambahan pegawai imigresen sebagai langkah penambahbaikan.
"Kita minta untuk menambah 10 pegawai imigresen tetapi KDN menambah sebanyak 26 pegawai bagi memastikan visa dikeluarkan dalam tempoh ditetapkan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Keusahawanan Pendidikan Tinggi Nasional di sini pada Selasa.
Idris diminta mengulas pengumuman Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Sabtu bahawa kerajaan akan mempermudah dan mempercepatkan pengeluaran visa untuk pelajar asing daripada sebulan sekarang kepada hanya 14 hari.
Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, dilaporkan berkata ketika ini 4,000 permohonan visa pelajar asing belum diproses disebabkan masalah di peringkat agensi yang menguruskan permohonan visa iaitu Education Malaysia Global Services (EMGS) dan Jabatan Imigresen.
Idris berkata apabila masalah tunggakan pemprosesan visa diatasi, sasaran memproses minimum 400 visa sehari dapat dicapai.
-- BERNAMA
#Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi #Datuk Seri Idris Jusoh #EMGS #KDN #pelajar asing #Visa
;