Tune Talk tawar Pakej Perpaduan bersama insurans kemalangan diri

Israr Khalid
Mac 3, 2023 16:30 MYT
Tune Talk sahut seruan kerajaan untuk bantu ringankan beban rakyat.
KUALA LUMPUR: Menyahut seruan kerajaan bagi membantu meringankan beban sara hidup rakyat, TuneTalk turut sama menawarkan Pakej Perpaduan Internet Mudah Alih serendah RM30 untuk enam bulan.
Istimewanya, Tune Talk memberi lebih nilai dengan menawarkan lima talian untuk satu keluarga, juga insurans kemalangan diri (PA) percuma untuk golongan sasaran.
Ketua Pengarah Eksekutif Tune Talk, Ameen Amaendran berkata pihaknya faham dengan situasi semasa dan berbesar hati diberi peluang menjadi sebahagian daripada program ini.
“Kami berharap inisiatif ini dapat mendorong pengguna dalam kehidupan seharian, terutamanya dengan insurans kemalangan diri (PA) percuma yang kami tawarkan,” dalam satu kenyataan.
Pakej Perpaduan menawarkan pelan prabayar dengan kelajuan lebih tinggi khusus untuk golongan belia, B40, orang kelainan upaya (OKU), warga emas, juga veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), pesara Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM).
Golongan ini layak menikmati 30GB data internet dengan kelajuan 3Mbps pada harga RM30 untuk 180 hari dan sekiranya data habis tidak sampai tempoh sah itu, pengguna boleh melakukan penambahan data dengan membeli pas Internet.
Inisiatif yang diambil oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia ini sejajar dengan matlamat Kerajaan Perpaduan dan Tune Talk untuk membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat dan memastikan misi rangkaian digital akan tercapai.
Untuk maklumat lanjut mengenai Pakej Perpaduan yang ditawarkan oleh Tune Talk, sila layari laman web rasmi Tune Talk di https://www.tunetalk.com/my/en/pakej-perpaduan
#Tune Talk #Pakej Perpaduan #Internet mudah alih #Ameen Amaendran
;