Tunang Adib bersyukur dengan keputusan hari ini

Sinar Harian
September 27, 2019 12:37 MYT
Nurul Najihah (kanan) mengucapkan syukur selepas keputusan inkues kematian Muhammad Adib dibaca hari ini. -Astro AWANI/Shahir Omar
"Alhamdulillah saya bersyukur sangat dengan keputusan ini,” kata tunang Allahyarham Muhammad Adib, Nurul Najihah Mohd Radzi, 25.
Nurul Najihah mengucapkan syukur selepas keputusan inkues kematian anggota Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Balai Subang Jaya, Muhammad Adib Mohd Kasim dibaca hari ini.
Nurul Najihah keluar dari mahkamah dalam keadaan menangis sambil dipimpin oleh seorang wanita.
Sebelum itu, dia yang tiba di Kompleks Mahkamah Shah Alam pada jam 8.45 pagi dan ia merupakan kali pertama dia hadir di Mahkamah Koroner bagi perbicaraan inkues kematian tunangnya.
Pagi tadi, mahkamah memutuskan kematian Muhammad Adib adalah akibat daripada tindakan jenayah sekumpulan individu yang tidak dikenali.
Koroner, Rofiah Mohamad membuat keputusannya sebentar tadi selepas prosiding perbicaraan memakan masa 41 hari.
Dalam keputusannya, Rofiah berkata, kecederaan lung chest trauma dialami Muhammad Adib disebabkan Allahyarham telah ditarik keluar dari van unit bantuan perkhidmatan kecemasan (EMRS).
Inkues menyiasat kematian Adib itu berlangsung selama 41 hari pendengaran dan menyaksikan 30 saksi termasuk saksi pakar memberi keterangan.
Adib, anggota Jabatan Penyelamat Perubatan Kecemasan (EMRS) Jabatan Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, cedera parah semasa rusuhan di Seafield pada 27 November tahun lalu.
Selepas 21 hari bertarung nyawa, dia menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember lalu di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.
Inkues itu diadakan untuk menentukan punca kematiannya susulan wujud dua versi bercanggah.
Satu versi mendakwa Allahyarham dilanggar oleh kenderaan, manakala satu lagi versi mengatakan dia dipukul oleh perusuh.
#inkues kematian #mahkamah koroner #Muhammad Adib #Nurul Najihah Mohd Radzi #Rofiah Mohamad
;