Tunai janji dalam MA63 bukan sebab takut hilang sokongan Sarawak, Sabah - PM
Hasimi Muhamad
September 29, 2024 13:30 MYT
September 29, 2024 13:30 MYT
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi komitmen Kerajaan Perpaduan untuk menunaikan segala tuntutan yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Perdana Menteri menegaskan, kesungguhan beliau menyelesaikan isu tuntutan MA63 bukan kerana takut kepada ugutan atau hilang sokongan daripada Kerajaan Negeri Sarawak dan Sabah.
Sebaliknya, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata ia adalah janji pemimpin-pemimpin terdahulu yang mesti dikotakan.
"Saya tidak ambil sikap defensif untuk mempertahankan MA63 sebab itu arahan awal saya sejak jadi Perdana Menteri walapun dikritik. Saudara Alex (Datuk Seri Alexander Nanta Linggi) tahu... kadang pembangkang kritik saya takut hilang dokongan... (konon) saya takut ada ugutan.
"Saya kata tidak pernah ada ugutan, (tetapi) ya pernah ada cadangan namun tidak pernah saya rasa gentar," katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Bersama Pemimpin Komuniti Masyarakat Kapit sempena lawatan kerja sehari ke Kapit, hari ini.
Hadir sama Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Alexander yang juga Menteri Kerja Raya dan Ahli Parlimen Kapit.
Berucap lanjut, Anwar yang menggayakan pakaian pahlawan Iban menambah, dalam politik, para pemimpin perlu menunaikan janji - sebahagiannya adalah amanah daripada pemimpin-pemimpin terdahulu yang berjuang demi negeri dan negara.
"... dan harus laksana amanah supaya mereka boleh disemadikan dengan aman dan (faham) bahawa keputusan yang mereka lakukan itu adalah keputusan yang bijak dan wajar. Sebab itu kita (kerajaan) laksanakan (janji dalam MA63)," katanya lagi.
Setakat 13 September lalu, sebanyak 11 tuntutan di bawah platform rundingan MA63 diselesaikan dengan tujuh daripadanya berjaya dicapai dalam tempoh dua tahun di bawah Kerajaan Perpaduan.
Empat perkara yang belum diputuskan adalah berkaitan sempadan laut, royalti minyak, duti setem serta tuntutan satu pertiga kerusi Parlimen mewakili Sabah dan Sarawak.
Dalam ucapan sama Anwar juga mengenang dan menghargai perjuangan para pemimpin besar negara termasuk Tun Datuk Patinggi Temenggung Jugah Anak Barieng, sebagai antara tokoh yang menggerakkan penubuhan Malaysia pada 1963.
Ujarnya, sikap Tun Jugah yang memiliki rasa cinta kepada negeri dan negara perlu dicontohi dalam menjamin masa depan generasi-generasi akan datang.
"Saya ingin menyatakan negara bertuah kerana kita mempunyai pemimpin besar yang berwawasan seperti Tun Jugah.
"Kita lihat Tun Jugah juga tidak ada pendidikan formal, bukan profesor... tidak belajar di universiti atau sekolah menengah tetapi beliau mempunyai jiwa, kesedaran, kefahaman kemanusiaan dan kasih kepada budaya serta tradisi Iban.
"Beliau tahu perlu kerjasama semua suku kaum di Sarawak untuk merdeka dan bebas...," tambah Perdana Menteri.