Tun Zaki ketuai j/kuasa kaji SOP cegah soalan bocor

Bernama
September 16, 2014 16:16 MYT
MUHYIDDIN: Tun Zaki Azmi dilantik pengerusi jawatankuasa bebas - Gambar fail
Kerajaan hari ini mengumumkan pelantikan bekas Ketua Hakim Negara Tun Zaki Tun Azmi sebagai pengerusi Jawatankuasa Bebas Mengkaji Pengurusan Peperiksaan Awam Kendalian Lembaga Peperiksaan
bagi mengkaji semula Prosedur Operasi Standard (SOP) peperiksaan awam oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM).
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pemilihan Zaki diputuskan semalam dan bekas ketua hakim negara itu telah bersetuju menerima pelantikan berkenaan.
"Ada lapan lagi nama (anggota jawatankuasa) yang telah diputuskan dan senarai nama itu akan diumumkan esok atau lusa dan kita telah memberikan terma rujukan kepada jawatankuasa itu untuk perhalusi bagi penambahbaikan," katanya kepada pemberita di rumah calon Barisan Nasional (BN) Mat Razi Mat Ail di Kampung Simpangan di sini, hari ini.
Jawatankuasa itu ditubuhkan ekoran kes kebocoran soalan kertas peperiksaan Sains dan Bahasa Inggeris untuk Ujian Pencapaian Sekolah Rendah 2014 baru-baru ini dan kerajaan menetapkan 30 September sebagai tarikh baharu bagi peperiksaan kedua-dua kertas itu.
Berikutan kes itu, kerajaan telah menggantung tugas Pengarah LPM Dr Na'imah Ishak dan Timbalan Pengarah Operasi badan itu Dr Wan Ilias Wan Salleh sehingga siasatan mengenainya selesai.
Semalam, polis menahan reman empat lelaki termasuk seorang guru besar dan dua guru bagi membantu siasatan kes itu.
Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata jawatankuasa bebas itu diberi masa tiga bulan untuk menambah baik operasi LPM dan proses peperiksaan awam di negara ini.
"Ia membabitkan hal pengesahan kertas peperiksaan, proses keselamatan dan proses SOP yang lain untuk diperkemas dan diperbaiki," katanya.
Beliau berkata jawatankuasa juga boleh mengkaji dan mencontohi amalan terbaik negara lain dalam tempoh tiga bulan yang diberikan.
Turut hadir di rumah Mat Razi ialah isteri Muhyiddin, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman dan pengarah jentera pilihan raya BN bagi pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Pengkalan Kubor Datuk Seri Mustapa Mohamed.
PRK itu membabitkan pertandingan tiga penjuru antara Mat Razi, calon PAS Wan Rosdi Wan Ibrahim dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary. Pengundian pada 25 Sept.
PRK itu diadakan berikutan kematian penyandangnya daripada BN Datuk Noor Zahidi Omar akibat kanser hati pada 20 Ogos lalu. Pada pilihan raya umum ke-13 lepas, Noor Zahidi menang dengan majoriti 1,736 undi.
#bocor #integriti #lembaga #Muhyiddin #peperiksaan #Sains #tangguh #UPSR #zaki
;