Tun Taib hadir sambutan Maulidur Rasul Sarawak
Fadilah Sulaiman
September 28, 2023 15:36 MYT
September 28, 2023 15:36 MYT
KUCHING: Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tuan Yang Terutama Tun Abdul Taib Mahmud melakukan penampilan awam pertama dalam Perhimpunan dan Perarakan Maulidur Rasul 1445H / 2023M selepas bercuti lebih dua bulan untuk menjalani pemulihan kesihatannya.
Beliau tiba di Padang Merdeka di sini sekitar pukul 8.30 pagi bersama isterinya Toh Puan Raghad Kurdi Taib mengenakan pakaian berwana lembayung.
Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari ketika berucap di majlis tersebut menyifatkan kehadiran dan peranan Taib sebagai simbol keharmonian masyarakat majmuk di negeri ini.
“Sesungguhnya kehadiran Tuan Yang Terutama Tun dan Toh Puan bukan sahaja menyerikan majlis pada hari ini bahkan ia memberikan dokongan kepada kami untuk meneruskan usaha membangunkan negeri Sarawak dan umat islam ke arah yang lebih baik di masa masa yang akan datang.
“Tun juga adalah sebagai simbol keharmonian masyarakat Sarawak yang berbilang agama dan latar belakang yang akan terus melakukan role mereka masing masing,” katanya.
Sebelum ini kali terakhir Taib menghadiri majlis rasmi adalah empat bulan lalu iaitu pada 21 Mei 2023 di Tebingan Sungai Kuching untuk Majlis Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Kebangsaan bersama-sama Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Difahamkan selepas itu Taib ketika bercuti di luar negara telah jatuh sakit dan menerima rawatan di Turkiye kemudian mengambil masa untuk pulih serta berehat bagi pemantauan pihak hospital.
Dalam tempoh tersebut, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar telah dilantik sebagai Pemangku Yang Dipertua Negeri dari 17 Ogos hingga 17 September lalu.