Tun Sakaran dimasukkan ke ICU akibat jangkitan COVID-19

Syah Hairizal Kamalul Arifin
Ogos 25, 2021 16:42 MYT
Menurut Datuk Seri Nasir Tun Sakaran, bapanya dimasukkan ke hospital itu sejak Rabu lalu selepas disyaki dijangkiti COVID-19.
KOTA KINABALU: Bekas Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Sakaran Dandai kini dilaporkan menerima rawatan di Hospital Gleneagles, Kota Kinabalu akibat jangkitan COVID-19.
Tun Sakaran, 91 yang juga bekas Ketua Menteri Sabah ke 8 itu dimasukkan ke hospital swasta itu sejak Rabu lalu dan semalam dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).
Menurut Datuk Seri Nasir Tun Sakaran, bapanya dimasukkan ke hospital itu sejak Rabu lalu selepas disyaki dijangkiti COVID-19.
"Keadaan beliau (Tun Sakaran) stabil. Bagaimanapun semalam, beliau dimasukkan ke ICU atas nasihat doktor bagi pemantauan yang lebih terperinci dan rapi.
" Setakat ini, ahli keluarga dan anak-anak ada berhubung dengan Tun Sakaran melalui panggilan video," katanya kepada Astro AWANI pada Rabu.
Nasir yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senallang memberitahu, beliau ada berhubung dengan Tun Sakaran pagi tadi melalui panggilan video.
Katanya, Tun Sakaran juga memaklumkan kesihatannya baik dan dijaga dengan rapi oleh pihak hospital.
"Tadi ayah saya ada mohon orang ramai mendoakan kesihatan beliau kembali sihat dan cepat sembuh," kata Nasir sambil berterima kasih atas doa yang dipanjatkan kepada ayahnya.
#Tun Sakaran Dandai #COVID-19 #Nasir Tun sakaran #panggilan video
;