Tun Musa lancar buku Ku Li: Memoir 205, angkat perjalanan politik Tengku Razaleigh
Faida Rahim
Mei 21, 2024 14:35 MYT
Mei 21, 2024 14:35 MYT
KUALA LUMPUR: Veteran UMNO Tun Musa Hitam melancarkan buku bertajuk KU LI: Memoir 205 yang mengangkat kisah perjalanan politik rakan seperjuangannya, Tengku Razaleigh Hamzah pada Selasa.
Beliau ketika berucap di majlis perasmian KU LI: Memoir 205 turut mengakui kehebatan bekas Menteri Kewangan itu sehingga kini.
“Ku Li boleh dikatakan kehidupan dia, pelajaran, jawatan dia pegang dan juga pengalaman dalam bidang politik boleh dikatakan ada sedikit sebanyak serupa saya.
“Ku Li juga disifatkan sebagai ‘The Wizard’ (ada 'kuasa ajaib') ketika negara berdepan cabaran ekonomi dan pembangunan... nama dia timbul.
“Ku Li kalau dibanding Musa, Musa kalah,” kata beliau disambut sorakan penonton yang berada di dewan Hotel Impiana KLCC pada Selasa.
Dalam pada itu, Musa turut mengakui pernah berdepan fasa ‘regang’ dengan rakan seperjuangannya itu suatu masa dahulu.
“Bila saya diberitahu saya dikehendaki lancar buku untuk Ku Li, banyak juga tak percaya... itulah sebab begitu ramai yang tidak tahu sejarah kita.
“Nak tengok orang berlawan dulu satu pentas cuma bercakap, ada 'common interest' untuk lancar buku hari ini,” katanya.
Antara pengisian menarik dalam buku ditulis Datin Zinitulniza Abdul Kadir ini, ia mengembalikan nostalgia antara Musa dan Ku Li termasuk dengan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam era kepimpinan Perdana Menteri kedua Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein.
Mengandungi 15 bab, Ku Li: Memoir 205 turut berkongsi hubungan erat Tengku Razaleigh dengan Abdul Razak.
Buku ini juga banyak berkongsi kisah yang tidak diketahui ramai antaranya misi Abdul Razak dan timbalannya, Tun Dr Ismail Abdul Rahman menghantar Ku Li ke China pada 1971 untuk berunding dengan Perdana Menteri China, Chou Enlai.
Tidak ketinggalan, buku ini juga berkongsi kisah Ku Li berulang kali menolak jawatan menteri yang ditawarkan Tunku Abdul Rahman dan Abdul Razak sebelum akhirnya menerima pada 1976 sebagai melunaskan wasiat Abdul Razak.
Buku Ku Li: Memoir 2015 terbitan Forum Press Sdn Bhd dihasilkan dalam dua versi berkulit lembut (RM55) dan keras (RM90).