Tun Musa Hitam selesai jalani pembedahan otak selepas jatuh ketika berkebun

Astro Awani
April 25, 2023 18:16 MYT
Nazir dan Tony melawat Musa yang selesai menjalani pembedahan di otaknya selepas terjatuh ketika berkebun pada minggu lepas. - Foto IG Nazir Razak
KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam selesai menjalani pembedahan pada otak selepas jatuh semasa berkebun pada minggu lepas.
Maklumat itu dikongsikan bekas Pengerusi Bukan Eksekutif Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) Tan Sri Nazir Razak di laman Instagramnya pada Selasa.
Menurut Nazir, disebabkan kecederaan itu, Musa menghabiskan hari lahirnya yang ke-89 di atas meja bedah.
“Secara keseluruhannya proses pemulihannya adalah sangat baik setakat ini.
“Sikapnya yang suka membuat kelakar juga sudah kembali!
"Mari kita sama-sama mendoakan agar beliau pulih sepenuhnya - kembali bermain golf dan semuanya,” tulisnya.
Turut hadir melawat Musa ialah Pengasas AirAsia dan Ketua Pegawai Eksekutif Capital A Bhd, Tan Sri Tony Fernandes.
Beberapa pengguna laman web itu juga turut mendoakan kesembuhan segera buat Timbalan Perdana Menteri itu.
#Timbalan Perdana Menteri #Musa Hitam #Nazir Razak #Pembedahan
;