Tun Mahathir ucap takziah kepada seluruh kerabat diraja Kelantan
Harits Asyraf Hasnan
September 28, 2019 22:37 MYT
September 28, 2019 22:37 MYT
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad merakamkan takziah kepada seluruh kerabat diraja Kelantan atas kemangkatan Almarhum Sultan Ismail Petra Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra.
Beliau menyifatkan baginda seorang yang cukup tertib serta mudah untuk bekerjasama.
“Baginda gering sekian lama dan tidak dapat menjalankan tugas sehingga anak baginda terpaksa mengambil alih kuasa di Kelantan.
“Semasa baginda menjadi Sultan Kelantan, saya ada hubungan yang baik dengannya. Saya dapati baginda seorang yang cukup tertib, ikut peraturan dan mudah untuk kita bekerjasama dengannya.
“Saya berasa sedih dengan kemangkatan baginda dan saya ucap takziah kepada keluarganya,” kata Dr Mahathir.
Beliau berkata demikian pada sidang media bersama media Malaysia di sini sempena lawatan kerja lima hari beliau seiring Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Istiadat pemakaman jenazah Almarhum Sultan Ismail Petra selesai jam 7.20 malam tadi di Makam Diraja Langgar, Kota Bharu, Kelantan.
Sultan Ismail Petra mangkat di Wad Diraja Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini pada pukul 8.11 pagi.
#kerabat diraja kelantan
#Mahathir Mohamad
#Perdana Menteri
#rakyat kelantan
#Sultan Ismail Petra
#takziah