Tun Mahathir setuju bantu selesai isu penempatan Bukit Malut - MB Kedah
Adie Sufian Zulkefli
Februari 19, 2023 15:52 MYT
Februari 19, 2023 15:52 MYT
ALOR SETAR: Kesepakatan antara Kerajaan Negeri Kedah dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad telah diperoleh untuk bekerjasama dalam menyelesaikan isu penempatan haram membabitkan golongan Melayu Islam Kedah (MIK) di Bukit Malut, Langkawi.
Menurut Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor, isu berkenaan sudah berlarutan sekian lama dan ia memerlukan kerjasama Dr Mahathir sebagai individu yang terbabit dengan penempatan MIK di Bukit Malut.
"Saya minta sokongan beliau (Tun Mahathir) terhadap cadangan kerajaan negeri untuk Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengambil alih sebahagian tanah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Bukit Malut, bagi dijadikan penempatan baharu buat penduduk yang tinggal di penempatan haram.
"Beliau setuju dengan cadangan itu dan sudi beri kerjasama penuh. Beliau antara pencetus yang membawa MIK ke situ dan kalau tak tanya Tun Mahathir, tak ada orang dah yang boleh cerita sejarah panjang-panjang mengenai Bukit Malut.
"Cumanya untuk ambil alih tanah LKIM itu tak bolehlah mahal-mahal kerana rumah yang nak dibina mestilah pada kadar berpatutan agar mampu dibeli golongan berkenaan supaya penempatan haram dapat dihapuskan.
"Disebabkan itu projek MKN, maka tidak sepatutnya kerajaan negeri keluarkan duit untuk bina penempatan baharu. MKN perlu mainkan peranan dengan buat pengambil alihan tanah, minta pemaju buat rumah dan golongan MIK ini boleh beli dengan kadar tak terlalu mahal kerana tanah itu sudah jadi milik MKN," katanya.
Muhammad Sanusi berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan perasmian Majlis Penyerahan Geran Hak Milik Tanah Bagi Daerah Kota Setar serta Pelancaran 'Kedah Cashless' di Alor Setar, pada Ahad.
Sebelum ini, Muhammad Sanusi memuat naik gambar di Facebook pertemuan antara beliau dan bekas Perdana Menteri itu yang berlangsung di Yayasan Kepimpinan Perdana pada 13 Februari lalu.
Mengulas mengenai pertemuan itu, Muhammad Sanusi berkata, pertemuan itu tidak langsung membincangkan hal politik dan banyak membincangkan pembangunan di Kedah termasuk pertanian, industri dan Langkawi.
Ditanya sama ada Dr Mahathir akan bersama Perikatan Nasional (PN) dalam mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi, Muhammad Sanusi berkata beliau tidak pasti tentang perkara itu.
"Memanglah dalam Facebook saya katakan ada 'cerita bagus' dan minta mereka yang mahu dengar 'cerita' itu agar menunggu. Tetapi saya bukan maksudkan tentang itu (Mahathir bersama PN dalam PRN). Kalau nak tahu 'cerita bagus' itu kena tunggu dulu lah, " katanya lagi.