Tun Mahathir perlu lihat sendiri proses sebatan
Sinar Harian
September 8, 2018 12:39 MYT
September 8, 2018 12:39 MYT
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dipelawa hadir ke Mahkamah Syariah Terengganu sebagai saksi bagi melihat sendiri proses sebatan syariah yang dijalankan di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat berkata, langkah itu bagi memberi gambaran sebenar kehalusan hukum Islam supaya tidak timbul pelbagai persepsi negatif yang bertentangan dengan amalan sebenar.
Menurutnya, dalam tempoh terdekat ini, akan ada lagi hukuman sebatan yang akan dikenakan kepada pesalah.
"Ada lagi hukuman sebatan syariah yang akan dikenakan kepada pesalah membabitkan seorang wanita yang menjadi pelacur dan lelaki yang bertindak sebagai ‘bapa ayam’.
"Jadi kita menjemput Tun Mahathir untuk hadir menyaksikan sendiri bagaimana pelaksanaan hukuman dilakukan bagi mendapatkan gambaran sebenar," katanya.
Dalam pada itu, Satiful berkata, hukuman dikenakan bertujuan mendidik dan memberi teladan, bukan ingin memalukan mana-mana pihak terlibat.
"Islam bukan agama yang akan mengaibkan sesiapa secara membuta tuli malah dalam kes pasangan sejenis itu, kedua-dua pesalah telah diberi peluang untuk membuat rayuan," katanya.