Tun Mahathir nafi gesa campur tangan asing
T K Letchumy Tamboo
April 11, 2016 00:28 MYT
April 11, 2016 00:28 MYT
Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menafikan bahawa beliau telah menggesa pihak luar untuk mencampuri urusan dalaman negara.
Dr Mahathir berkata, beliau hanya bercakap mengenai keadaan yang berlaku di dalam negara pada ketika ini.
"Saya hanya katakan bahawa semua saluran untuk menyatakan kebenaran di negara ini telah disekat.
“Jadi saya akan memberitahu perkara ini kepada pihak media asing,” katanya di satu siding media selepas menghadiri forum Pembinaan Negara Bangsa Melalui Pendidikan di Muzium Kesenian Islam di sini, hari ini.
Dr Mahathir berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak yang menyifatkan gesaan untuk campur tangan asing itu suatu tindakan terdesak.
Salleh berharap Dr Mahathir tidak dengan sengaja mencari sebab untuk dirinya ditangkap dengan tujuan meraih simpati orang ramai.
Dr Mahathir dalam wawancara dengan akhbar Australia, The Weekend Australian, berkata harapan supaya Najib selaku Perdana Menteri berundur adalah tipis sekiranya tidak mendapat tekanan pihak luar.
Polis pada Isnin sudah membuka empat kertas siasatan terhadap Dr Mahathir berhubung tindakannya yang cuba menghasut campur tangan asing itu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata setakat ini, beberapa siasatan masih dijalankan manakala yang lain sudah dihantar kepada Peguam Negara untuk tindakan lanjut.
Katanya ada kertas siasatan yang dibuka kerana menghasut dan juga perkara lain.