Tun Mahathir nafi dakwaan galakkan keganasan di Perancis
Umavathi Ramayah
Oktober 30, 2020 17:49 MYT
Oktober 30, 2020 17:49 MYT
KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menafikan dakwaan yang mengatakan beliau mengalakkan keganasan di Perancis.
Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, kenyataan dalam blog beliau semalam sengaja diputar belitkan oleh pihak tertentu.
Dr Mahathir berkata, pihak tersebut sengaja memetik kenyataannya di perenggan dua belas di luar konteks yang mengatakan orang Muslim berhak untuk marah dan bunuh orang Perancis bagi memblas pembunuhan mereka pada masa lampau.
"Mereka berhenti di situ, dan memberi bayangan kononnya saya mempromosikan pembunuhan rakyat Perancis," katanya dalam hantaran yang dikongsi dalam blog beliau di www.chedet.cc di sini pada Jumaat.
Dr Mahathir menjelaskan, sekiranya mereka membaca sepenuhnya hantaran yang dikongsi di Twitter dan Facebook, ada disebutkan bahawa Islam tidak pernah mengamalkan peraturan sedemikian dan Perancis seharusnya mendidik rakyatnya untuk menghormati perasaan orang lain.
BACA: Cuba bawa suara umat Islam, ciapan Tun Mahathir dianggap 'mengagungkan keganasan' oleh Twitter
Beliau berkata, netizen bertindak membuat laporan di Facebook dan Twitter supaya hantaran itu dikeluarkan dan tanpa diberi sebarang peluang untuk menjelaskan, hantaran itu dipadamkan.
"Tidak ada yang saya boleh lakukan atas keputusan media sosial itu untuk memadamkan hantaran itu.
"Tapi saya berpendapat, memandangkan mereka dikatakan menjuangkan kebebasan untuk bersuara, jadi sekurang-kurangnya saya harus diberi ruang untuk menjelaskan dan mempertahankan pendirian saya itu.
"Tapi, inilah kebebasan bersuara kepada mereka," ujarnya.
Sebaliknya kata beliau, mereka mempertahankan tindakan individu yang menunjukkan karikatur didakwa Nabi Muhammad SAW dan mengharapkan umat Islam untuk menerima tindakan itu atas nama kebebasan.
Semalam, Twitter meletakkan tanda pada ciapan Mahathir tersebut atas dasar mengangkat keganasan.
Tidak lama kemudian, Twitter membuat keputusan untuk memadam ciapan tersebut atas dasar melanggar peraturan laman sosial itu.
#chedet
#Perancis
#mengangkat keganasan
#hantaran dipadam
#Nabi Muhammad
#Mahathir Mohamad
#Perdana Menteri
#Ahli Parlimen Langkawi
#Twitter
#Facebook