'Tun Mahathir, mana pergi pelan pemulihan Proton?' - Pemuda UMNO

Wan Syamsul Amly
April 2, 2016 21:35 MYT
KHAIRUL AZWAN: Tindakan tidak bertanggungjawab ini telah meletakkan pekerja dan vendor Proton dalam ketidaktentuan dan penuh risiko. - Gambar fail
Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad diminta menjawab punca kegagalan Proton Holdings Berhad (Proton) walaupun DRB-HICOM Bhd. sudah mengambil alih kepentingan syarikat itu sebelum ini.
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun berkata, desakan itu turut diberi kepada ahli lembaga pengarah dan pengurusan Proton yang menjadikan syarikat itu masih gagal untuk berdaya saing dan bebas berdikari selama ini.
"Pemuda UMNO memandang serius kenyataan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mustapa Mohamed berhubung masalah kewangan dan pengurusan yang sedang dihadapi oleh Proton.
"Walaupun Proton tidak lagi menjadi milik Kerajaan setelah diambil alih oleh DRB-Hicom, kerajaan punyai tanggungjawab untuk memastikan Proton terus wujud.
"Justeru Dr Mahathir, lembaga pengarah dan pengurusan Proton perlu bersikap lebih profesional dan jujur setelah diberi peluang oleh kerajaan sewaktu bidaan pengambil alihan Proton," katanya ketika menghubungi Astro AWANI di sini hari ini.
Letak jawatan
Pada 31 Mac, Proton dalam satu kenyataan memaklumkan Dr Mahathir meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Proton berkuatkuasa serta merta.
Dengan peletakan jawatan itu, Dr Mahathir turut menamatkan khidmatnya sebagai Pengerusi Group Lotus Plc, anak syarikat milik penuh Proton.
Mustapa sebelum ini dilaporkan berkata, model perniagaan sedia ada Proton tidak mampan dan kerajaan akan menimbang sebelum lebih banyak bantuan diberikan.
Tegas Mustapa, sehingga kini lebih RM13 bilion bantuan telah diberikan kepada Proton sejak 1983.
Tambahnya, perlindungan yang selama ini diberikan kepada Proton, harus dihentikan.
Pemulihan kewangan
Dalam pada itu kata Khairul Azwan, mana mungkin kerajaan diheret untuk terus menyalurkan dana bagi pemulihan kewangan syarikat tersebut.
"Apa terjadi dengan pelan pemulihan Proton oleh DRB-Hicom setelah diambil alih?
Pemuda UMNO juga menganggap Dr Mahathir semakin celaru dan tidak bertanggungjawab apabila melepaskan jawatan selaku pengerusi pada waktu Proton sedang berhadapan masalah kewangan.
"Tindakan tidak bertanggungjawab ini telah meletakkan pekerja dan vendor Proton dalam ketidaktentuan dan penuh risiko. Akhirnya kerajaan pula dipaksa untuk menyelamatkan atau bail out," jelasnya.
Tegasnya lagi, Dr Mahathir, lembaga pengarah dan pengurusan Proton juga perlu telus dengan ribuan warga kerja dan vendor yang telah meletakkan harapan tinggi kepada mereka.
Terdahulu, Menteri Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan, menggesa Dr Mahathir untuk mengambil tanggungjawab ke atas prestasi kewangan Proton.
Katanya, Dr Mahathir perlu tampil ke hadapan dan menjawab mengapa pengeluar kereta nasional itu berada dalam masalah kewangan yang serius walaupun berbilion ringgit telah dilaburkan ke dalam syarikat itu.
#Datuk Seri Mustapa Mohamed #Proton. MITI
;