Tun Mahathir letak jawatan: Polis pantau keselamatan ibu kota

Bernama
Februari 24, 2020 22:49 MYT
Mazlan menegaskan, pihaknya tidak akan berkompromi mengambil tindakan tegas mengikut undang-undang terhadap mana-mana pihak yang didapati cuba mengganggu ketenteraman awam. - Gambar fail
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata polis akan terus memantau dan bersiap sedia, bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam di sekitar ibu negara terus terjamin, susulan senario politik semasa dan peletakan jawatan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
"Orang ramai dinasihati supaya menghormati undang-undang dan proses demokrasi di negara ini.
"Pihak polis juga mengharapkan kerjasama yang berterusan dari penyokong parti-parti politik dan orang ramai supaya tidak menimbulkan spekulasi, mencetuskan provokasi serta menyebarkan berita atau maklumat tidak benar terutamanya berkaitan sensitiviti perkauman mahu pun agama yang boleh menjejaskan ketenteraman awam serta kehormanian masyarakat," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Isnin.
Tegasnya, pihaknya tidak akan berkompromi untuk mengambil tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang sedia ada terhadap mana-mana pihak yang didapati cuba mengganggu ketenteraman awam.
Dr Mahathir pada Isnin meletak jawatan sebagai perdana menteri dan pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Pejabat Perdana Menteri mengumumkan dalam satu kenyataan bahawa Dr Mahathir telah menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Yang di-Pertuan Agong.
Menurut kenyataan Ketua Setiausaha Negara, Yang di-Pertuan Agong telah berkenan melantik Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri interim, sementara menunggu pelantikan Perdana Menteri yang baharu.
-- BERNAMA
#keselamatan #letak jawatan #Mahathir Mohamad #Mazlan Lazim #mengganggu ketenteraman awam #polis #politik #undang-undang #Yang di-Pertuan Agong