Tun Mahathir lancar Pelan Anti-Rasuah Nasional 31 Januari ini
Rahimah Abdullah
Disember 21, 2018 13:38 MYT
Disember 21, 2018 13:38 MYT
Pelan Anti-Rasuah Nasional 2019-2023 (NACP) sudah siap sepenuhnya dan akan dilancarkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 31 Januari depan.
Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC), Tan Sri Abu Kassim berkata, NACP adalah antara 61 penambahbaikan hasil laporan Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR) bagi tempoh Jun-Disember 2018.
"Pelan ini sudah siap dan kita akan lancarkan pada hujung Januari oleh Perdana Menteri. Intipati NACP ia akan merangkumkan beberapa perkara dasar iaitu tiga elemen penting dan sebahagian daripada manifesto yang dijanjikan kerajaan akan juga termasuk dalam pelan.
"Kita juga ambil kira laporan jawatankuasa penilaian yang dilantik oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Dadah Dan Jenayah (UNODC) kerana setiap tahun kita akan ada persidangan di Vienna yang membincangkan tentang UNODC. Lebih kurang 70 artikel dengan cadangan untuk memerangi rasuah yang boleh digunakan negara-negara tersebut," ujarnya dalam sidang media yang turut dihadiri Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Mohd Shukri Abdull di sini pada Jumaat.
Lima mesyuarat JKKMAR diadakan sejak Jun lalu dan ia dipengerusikan Perdana Menteri serta dianggotai Timbalan Perdana Menteri , lima menteri dan seorang Timbalan Menteri.
Ia turut melibatkan 32 Ketua Perkhidmatan Utama dan Ketua Setiausaha Kementerian atau Ketua Pengarah, selain GIACC bertindak sebagai Sekretariat JKKMAR.
Tambahnya, NACP juga adalah sebagai usaha negara untuk memenuhi elemen yang ditetapkan UNODC.
"Dalam konteks ini, mereka telah mengemukakan dua laporan kepada Malaysia mengenai apakah perkara-perkara yang perlu diambil tindakan untuk memastikan pematuhan itu berada pada tahap yang tinggi.
Justeru katanya, laporan dikemukakan UNODC dijadikan sebagai asas untuk membentuk NACP.
Selain itu, pihaknya turut mengambil kira cadangan dikemukakan beberapa Badan Bukan Kerajaan (NGO), dan Internation Reform Comittee (IRC) yang dilantik oleh Council of Eminent Persons (CEP).
"Banyak yang kemukakan cadangan, dan ia telah dikaji dan dimasukkan dalam pelan tersebut. Akhirnya, semasa mesyuarat akhir JKKMAR, terdapat usaha yang dikenalpasti melalui interaksi dengan KSU dari semasa ke semasa dan kemudian cadangan dimasukkan dalam pelan NACP," ujarnya.
Cadangan menggubal NACP diumumkan sejak Jun lalu bagi membolehkan isu-isu tadbir urus, integriti dan anti-rasuah ditangani secara menyeluruh.
#Dadah
#integriti
#jenayah
#kabinet
#kerajaan
#Mahathir Mohamad
#Malaysia
#Manifesto
#Media
#menteri
#NGO
#Perdana Menteri
#Rasuah
#SPRM
#Timbalan Perdana Menteri