Tun Mahathir lancar Malaysia Fest di Bangkok
Harits Asyraf Hasnan
Jun 21, 2019 15:05 MYT
Jun 21, 2019 15:05 MYT
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini merasmikan Malaysia Fest 2019 di pusat membeli-belah Central World di Bangkok, Thailand.
Pesta yang bermula semalam itu bukan sahaja menampilkan budaya kepelbagaian rakyat Malaysia, malah turut menyajikan lebih 60 jenis makanan jalanan Malaysia yang bakal menjadi tumpuan utama pengunjung.
Nasi lemak, sate, roti canai dan asam pedas antara menu tersedia untuk dinikmati di kembara 'Malaysia Street Food Lover 2019' yang diadakan seiring program tersebut yang berlangsung sehingga Ahad ini.
Selain itu, laksa Sarawak, otak-otak daun nipah dan beberapa kuih tradisional seperti seri muka dan koci antara menu yang disediakan pada acara yang berlangsung selama empat hari itu.
Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd Sallehhuddin Hassan berkata, 'Malaysia Street Food Lover 2019' adalah inisiatif kementerian bagi menggalakkan usahawan makanan di bawah segmen makanan jalanan untuk mengembangkan pasaran kulinari.
"Ini adalah satu usaha untuk kementerian bagi menjual negara melalui makanan. Ramai tertanya-tanya, kenapa Thailand dipilih?
"Kalau sesetengah orang mengatakan Thailand adalah syurga makanan, kita cuba memasuki pasaran ini untuk mengetahui bagaimana penerimaan negara seperti Thailand ke atas makanan kita.
"Kebanyakkan mereka tidak tahu yang kita mempunyai menu-menu yang menarik dan mempunyai potensi yang tinggi," katanya kepada media di sini, hari ini.
Seramai 24 usahawan dari Malaysia mempamerkan makanan jalanan Malaysia sempena Malaysia Fest 2019.
Kembara 'Malaysia Street Food Lover 2019' akan diteruskan di selatan Thailand bermula 27 hingga 30 Jun ini di Central Festival Hatyai, Songkhla.