Tun Mahathir ketuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-ROK 2019

Rahimah Abdullah
November 23, 2019 17:00 MYT
Duta Besar Malaysia ke Korea Selatan Datuk Mohd Ashri Muda pada sidang media sempena Lawatan Kerja Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ke Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Republik Korea hari ini. - Foto Bernama
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-ROK 2019 bermula 25 hingga 26 November ini.
Beliau dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali dijangka tiba di Busan pada pada esok.
Turut mengiringi Perdana Menteri ialah Menteri Luar Negeri, Datuk Saifuddin Abdullah, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking dan Pegawai-Pegawai Kanan Kerajaan.
Menurut Duta Besar Malaysia di Korea Selatan, Datuk Mohd Ashri Muda, pada hari pertama program, Perdana Menteri dijangka akan menghadiri program Sesi Dialog ASEAN-ROK CEO Summit dan berbicara mengenai “New Partnership for the Co-prosperity of Korea & ASEAN Businesses” serta melawat Malaysian Pavilion di INVEST ASEAN exhibition.
Perdana Menteri juga dijadualkan menghadiri sesi Majlis Makan Malam Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Republik Korea di The Hilton Busan.
Pada hari akhir persidangan, Perdana Menteri akan menghadiri Sesi Pleno Pertama, diikuti dengan Sesi Pleno Kedua dan Sesi Pemukiman Makan Tengahari.
“Sesi Pleno pertama yang bertemakan ASEAN-ROK 30 & 30 akan bermula pada jam 9.30 pagi . Sesi Pleno pertama ini akan memberi peluang kepada para Pemimpin ASEAN dan Republik Korea untuk mengkaji kerjasama ASEAN-Republik Korea untuk 30 tahun yang lampau dan bertukar-tukar pandangan untuk 30 tahun akan datang khususnya mengenai hala tuju masa depan kerjasama ASEAN-Republik Korea dalam aspek politik-keselamatan, ekonomi dan sosio-budaya,” katanya kepada media Malaysia di Busan pada Sabtu.
Perdana Menteri juga akan menghadiri Sesi Pemukiman Makan Tengah Hari untuk membincangkan isu Semenanjung Korea di Nurimaru APEC House.
“Semasa Sesi Pemukiman Makan Tengahari, para pemimpin dijangka akan mengadakan perbincangan secara terbuka mengenai isu Semenanjung Korea dan usaha-usaha yang perlu diambil dalam menangani isu ini. Setelah selesai Sesi Pemukiman Makan Tengahari, Perdana Menteri kan membuat lawatan ke Hyundai Rotem Changwon Factory pada jam 4.30 petang,” ujarnya lagi.
Kemuncak Peringatan ASEAN-ROK 2019 akan menjadi wadah bagi Pemimpin-Pemimpin ASEAN dan Republik Korea untuk bertukar-tukar pandangan berhubung kerjasama antara kedua-dua pihak di peringkat serantau dan antarabangsa.
Ia akan memberi platform untuk mengkaji kerjasama antara ASEAN dan Republik Korea 30 tahun lepas dan merangka hala tuju masa depan Hubungan Kerjasama Strategik ASEAN-Republik Korea untuk 30 tahun akan datang.
“Untuk sidang kemuncak peringatan ini, pemimpin-pemimpin ASEAN dan ROK akan memperakukan dokumen hasil ASEAN-ROK 30th Anniversary Vision Statement for Peace Prosperitiy and Partnership.
“Dokumen tersebut menjelaskan komitmen pemimpin-pemimpin ASEAN dan ROK dalam merancakkan lagi kerjasama ASEAN-ROJ dalam semua bidang kerjasama yang boleh membawa kepentingan bersama,” katanya.
Satu kenyataan bersama Pengerusi ASEAN dan Republik Korea juga akan dikeluarkan di akhir Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Republik Korea 2019.
#ASEAN #ASEAN-ROK CEO Summit #ekonomi #Invest ASEAN #Korea #Korea Selatan #Mahathir Mohamad #Malaysia #Perdana Menteri #Saifuddin Abdullah
;