Tun Mahathir kesal letak jawatan Perdana Menteri pada 2003

Ridauddin Daud
Februari 17, 2021 19:16 MYT
Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui kekesalan terbesarnya adalah melepaskan jawatan tersebut pada 2003. - Gambar fail BERNAMA
SHAH ALAM: Sepanjang hampir 24 tahun menjadi Perdana Menteri (dua kali menerajui negara), Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui kekesalan terbesarnya adalah melepaskan jawatan tersebut pada 2003.
Menurut Dr Mahathir, tiada siapa menyuruhnya berhenti pada waktu itu namun tindakan berbuat demikian adalah atas kerelaannya sendiri.
“Saya masih popular, saya masih mendapat sokongan dua pertiga tetapi saya fikir sudah tiba masa saya letak jawatan sebab saya fikir saya sudah tua, umur lebih 70 tahun.
“Jadi saya fikir saya patut letak jawatan tapi saya tak sangka orang yang gantikan saya buat benda-benda yang sebabkan rakyat tidak senang dengan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program ‘Bersama Tun M’ yang dikendalikan Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar anjuran Sinar Harian pada Rabu.
Ketika ditanya tidakkah beliau menyesal meletak jawatan kali kedua pada tahun lepas, ini jawapan beliau:
“Kali kedua saya terpaksa letak jawatan, parti saya dah jatuh,” katanya.
Pada 24 Februari 2020, Dr Mahathir telah meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri ketujuh selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang diterajuinya runtuh dalam krisis politik negara ekoran tindakan Langkah Sheraton.
Serentak peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri, Ahli Parlimen Langkawi itu juga mengumumkan meletak jawatan sebagai Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) iaitu parti yang memerintah negara bersama rakan-rakan komponen dalam PH.
Dr Mahathir mengambil alih kerajaan dan menjadi Perdana Menteri kali kedua pada usia 92 tahun selepas PH memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 9 Mei 2018.
Negarawan berusia 95 tahun itu juga merupakan Perdana Menteri keempat dari 16 Julai, 1981 hingga 31 Oktober 2003.
#Mahathir Mohamad #Perdana Menteri #PM #bekas PM #PPBM #Bersatu #letak jawatan #Yang di-Pertuan Agong #rakyat #menteri #Astro Awani #popular #berhenti
;