Tun Mahathir jelas mengapa hapuskan tol tidak boleh dilakukan serta-merta
Firdaus Azil
Oktober 7, 2019 13:27 MYT
Oktober 7, 2019 13:27 MYT
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menjelaskan kenyataan beliau semalam untuk ‘tidak janji menghapuskan tol’ adalah merujuk kepada manifesto Pakatan Harapan, iaitu ia tidak boleh dilakukan serta-merta ekoran bebanan kewangan yang dipikul kerajaan masa kini.
Beliau berkata, secara hakikatnya, tidak semua yang memiliki konsesi lebuh raya yang mendapat keuntungan, kerana dana yang besar diperlukan untuk menyelenggara lebuh raya tersebut.
Dr Mahathir berkata, manifesto PH mengandungi ayat berikut - Kerajaan Pakatan Harapan akan mengkaji semula perjanjian konsensi lebuh raya. Kami akan berunding untuk mendapatkan harga yang terbaik untuk mengambil alih setiap konsesi tol dengan matlamat akhir untuk menghapuskan tol secara berperingkat.
“Kajian menunjukkan bahawa kerajaan terpaksa belanja puluhan bilion Ringgit untuk mengambil alih lebuh raya bertol dengan secara serta merta. Setelah ambil alih penyelenggaraan akan memerlukan berbilion ringgit lagi,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Perdana Menteri berkata, langkah itu memerlukan lebih masa memandangkan kerajaan terdahulu telah meninggalkan hutang sehingga mencecah trillion Ringgit, dan ia perlu dijelaskan sekiranya tidak mahu dikenakan status muflis.
“Apabila dibayar, dana kerajaan tidak mencukupi untuk pembangunan infrastuktur yang penting jika beban pembelian dan penyelenggaraan lebuh raya ditambah kepada operasi dan pembangunan kerajaan.
“Setelah dikaji, kerajaan tidak mampu melayan permintaan projek oleh rakyat jika dibeban dengan penyelenggaraan lebuh raya,” jelasnya lagi.
Perdana Menteri berkata, atas sebab itu, penghapusan tol segera tidak boleh dilakukan kerana memerlukan pembelian oleh kerajaan.
“Masa diperlukan untuk mengurang beban rakyat kerana menghapuskan tol, tetapi menurunkan bayaran tol boleh dipikul.
“Jika ada (pihak) swasta) yang akan kurangkan tol, cadangan mereka boleh dipertimbang,” kata Dr Mahathir lagi.
#Hapuskan Tol
#Mahathir Mohamad
#Manifesto
#Manifesto Pakatan Harapan
#Media
#Pakatan Harapan
#Perdana Menteri
#ringgit
#Tun Dr Mahathir Mohamad