'Tun Mahathir jangan pilih kasih isu perhimpunan' - Ibdilillah
Wan Syamsul Amly
Disember 4, 2016 21:32 MYT
Disember 4, 2016 21:32 MYT
Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tun Dr Mahathir Mohamad diminta tidak bersikap pilih kasih isu Himpunan Solidariti Ummah untuk Rohingya dengan himpunan yang pernah dihadirinya sebelum ini.
Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Ibdilillah Ishak berkata, Dr Mahathir juga terlupa pernah menghadiri beberapa siri perhimpunan dan dialog mengenai isu kemanusiaan sejagat.
"Bukankah pada tahun 1984, Kerajaan pimpinan Dr Mahathir menganjurkan perhimpunan di Stadium Negara bagi menyambut kedatangan Almarhum Yasser Arafat?
"Bukankah alasannya pada ketika itu adalah untuk menyokong pembebasan Palestin dan menentang rejim Zionis?
"Masihkah Dr Mahathir ingat perhimpunan yang dianjurkan pada tahun 1990 untuk menyambut kedatangan pemimpin parti ANC, Mendiang Nelson Mandela? Bukankah pada ketika itu Dr Mahathir bersolidariti menentang diskriminasi warna kulit yang berlaku di Afrika Selatan?" soalnya ketika menghubungi Astro AWANI di sini hari ini.
Ibdilillah mengulas kenyataan Dr Mahathir yang mempersoalkan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ke Himpunan Solidariti Ummah bagi membantah kekejaman Myanmar ke atas etnik Rohingya.
Jelas Dr Mahathir, Datuk Seri Najib seharusnya mengambil pendekatan 'kerajaan kepada kerajaan' dan bukannya 'rakyat kepada kerajaan', sepertimana yang dilakukannya.
Dalam pada itu Ibdilillah menegaskan, Dr Mahathir sendiri pernah berkongsi pentas bersama bekas Presiden PAS, Allahyarham Datuk Fadzil Noor dalam satu dialog mengenai isu kezaliman rejim Zionis terhadap Palestin pada tahun 2002?
"Mengapa Dr Mahathir pilih untuk bersikap 'double standard'? Perbuatannya dahulu amat bercanggah dengan apa beliau ungkapkan hari ini.
"Dr Mahathir sebenarnya tidak mudah lupa, tetapi beliau dengan sengaja melupakan perbuatannya dahulu demi menyerang Kerajaan Barisan Nasional," tegasnya.
Datuk Seri Najib pada Himpunan Solidariti Ummah untuk Rohingya, di Stadium Taman Tasik Titiwangsa menegaskan beliau tidak akan menutup mata dan berdiam diri berhubung penderitaan Rohingya di Myanmar.
Katanya, Malaysia akan berjuang habis-habisan bagi mempertahankan hak asasi golongan etnik beragama Islam di Myanmar itu.
Turut hadir pada perhimpunan tersebut, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan beberapa anggota kabinet termasuk Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman serta beberapa pucuk pimpinan PAS yang diketuai Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.