Tun Mahathir harap Bon Samurai kedua dapat diterbitkan
Najib Aroff
September 7, 2019 18:09 MYT
September 7, 2019 18:09 MYT
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berharap terbitan kedua Bon Samurai dapat direalisasikan bagi membayar hutang negara yang tinggi.
Beliau berkata, Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe juga sudah memberikan lampu hijau untuk rundingan dimulakan.
Bagaimanapun Dr Mahathir berkata pandangan pakar perlu diambil kira sebelum sebarang keputusan dibuat berhubung perkara berkenaan.
“Saya mahu teruskan perkara (terbitan Bon Samurai) ini. Tetapi kita perlu mendengar pendapat pakar. Saya bukan pakar ekonomi.
“Pendapat saya tentang ekonomi juga tidak betul tetapi entah bagaimana negara boleh membangun ketika saya menjawat jawatan Perdana Menteri (keempat) dahulu,” katanya dengan nada gurauan.
Tambah Dr Mahathir, beliau juga terkenal dengan sikap tidak bersetuju dengan pakar kerana banyak bukti menunjukkan unjuran mereka tidak tepat.
“Sewaktu kita berdepan serangan matawang dahulu (1998), ramai pakar tidak bersetuju dengan langkah kita (menambat nilai ringgit) dan berkata negara akan muflis, tetapi kita lakukan dan negara kita pulih malah negara lain yang bermasalah,” ujarnya pada sidang media pada hari terakhir lawatan kerja di Kyoto Jepun.
Dr Mahathir berkata rundingan berkaitan Bon Samurai kini diserahkan kepada Kementerian Kewangan.
“Ada yang kata Bon Samurai ini bahaya kerana nilainya turun dan naik, ya itu satu kemungkinan.
“Tetapi jika kita tukar dan gunakan pinjaman dengan kadar faedah tinggi sekitar 6 ke 7 peratus, itu akan membebankan kita.
“Bon Samurai ini mempunyai kadar faedah 0.5 peratus sahaja, Pergilah cari di mana ada tawaran pinjaman sebegini,” tambahnya.
#bon samurai
#Jepun
#Kementerian Kewangan
#Kyoto
#Mahathir Mohamad
#Perdana Menteri
#ringgit
#Shinzo Abe