Tun Mahathir guna platform #BantahGST, seru tandatangani Deklarasi Rakyat

T K Letchumy Tamboo
April 2, 2016 19:08 MYT
Tun Mahathir dan isterin, Tun Dr Siti Hasmah, hadir secara mengejut ke himpunan Bantah GST yang diadakan di ibu negara pada Sabtu. - Foto Astro AWANI / Shahir Omar
Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, hadir secara mengejut ke perhimpunan Bantah GST yang diadakan di ibu negara pada hari ini.
Kehadirannya di lokasi berdekatan Dataran Merdeka itu diumumkan oleh Presiden Amanah Mohamad Sabu, yang sedang memberi ucapan penutup di perhimpunan itu ketika ketibaan Dr Mahathir.
Dr Mahathir kemudiannya menaiki sebuah lori kecil yang digunakan sebagai pentas sementara untuk memberi ucapannya di hadapan beribu-ribu orang yang hadir.
Dalam ucapannya, beliau mengesa semua orang yang hadir untuk menandatangani 'Deklarasi Rakyat' yang dilancarkan olehnya.
“Jangan lupa tandatangani deklarasi supaya dapat kita hadapkan rintihan rakyat kepada Raja-Raja Melayu. Walaupun tiada dalam Perlembagaan, tetapi Raja-Raja akan dengar suara rakyat," ujarnya.
Dr Mahathir juga meluahkan rasa terima kasih kepada rakyat yang hadir dalam keadaan yang panas terik itu.
Sebelum ini, Dr Mahathir berkata Deklarasi Rakyat memerlukan kira-kira sejuta tandatangan sebelum ia diserahkan kepada Majlis Raja-Raja.
Antara tuntutan Deklarasi Rakyat yang dilancarkan pada 4 Mac adalah peletakan jawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
BACA: Hampir 2,000 sertai perhimpunan #BantahGST
#Dr Mahathir #Himpunan Bantah GST
;