Tun Mahathir dikatakan tidak mahu lagi dikaitkan dengan Perkasa

Astro Awani
Januari 19, 2015 09:59 MYT
Tun Dr Mahathir Mohamad membawa haluan sendiri dan tidak mahu dikaitkan dengan Perkasa
Tun Dr Mahathir Mohamad dikatakan telah membawa haluan sendiri dan tidak mahu lagi dikaitkan dengan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia, Perkasa.
Menurut laporan dari sumber The Malaysian Insider, bekas Perdana Menteri itu yang sebelum ini banyak memainkan peranan dalam menyokong serta menjadikan Perkasa sebagai pertubuhan berpengaruh dengan menghadiri hampir kesemua acara dianjur pertubuhan itu, berkata, beliau tidak berpuas hati dengan cara kumpulan memperjuangkan hak Melayu itu mengendalikan serta mencetuskan isu berkaitan sensitiviti kaum.
Sumbernya itu juga memaklumkan, Dr Mahathir telah meluahkan perasaan tidak berpuas hati terhadap Perkasa semasa pertemuan pada November lalu dan telah memberi teguran keras kepada kumpulan itu.
Sumber itu berkata Perkasa sudah biasa dengan teguran Dr Mahathir dan melahirkan rasa hormat yang tinggi terhadap pemimpin itu.
"Kedua-dua pihak tiada ikatan apa-apa kecuali kami menghormati Tun M dan kami percaya Tun M menyokong banyak perkara yang Perkasa perjuangkan,” kata sumber yang juga merupakan pemimpin Perkasa.
Sumber itu turut menafikan Dr Mahathir adalah penaung mereka walaupun bekas perdana menteri itu seringkali menghadiri program dan berpengaruh dalam Perkasa.
Perkasa tidak pernah lari daripada kontroversi yang mengundang kritikan dan kecaman banyak pihak kerana dianggap tidak menjaga sensitiviti masyarakat berbilang kaum di Malaysia.
Ini termasuk ancaman Ibrahim Ali untuk membakar Bible berbahasa Melayu dan Iban dimana dikatakan turut mendapat sokongan Dr Mahathir yang mengatakan ia bukanlah satu masalah asalkan berniat baik.
#Masyarakat #PERKASA #sensitiviti #tidak berpuas hati #Tun Dr Mahathir Mohamad
;