Tun Mahathir dibenar pulang ke rumah setiap hari, terus jalani rawatan di IJN

Astro Awani
Februari 4, 2022 15:35 MYT
Gambar terbaharu Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali yang dirakamkan di kediaman mereka di The Mines, Sungai Besi. - Gambar Instagram @chedetofficial
KUALA LUMPUR: Sejak 2 Februari (Rabu) lalu, Tun Dr Mahathir Mohamad dibenarkan pulang ke rumahnya di The Mines, Sungai Besi dari pukul 8 pagi hingga 4 petang.
Bagaimanapun, bekas Perdana Menteri itu perlu kembali bermalam di Institut Jantung Negara (IJN) di sini, bagi tujuan menjalani rawatan pemulihan di IJN yang melibatkan sesi fisioterapi dan prosedur perubatan lanjut.
"Saya balik ke rumah setiap hari, dari pagi hingga petang dan akan balik ke hospital kerana ada prosedur yang perlu diteruskan," kata Dr Mahathir.
Ahli Parlimen Langkawi itu turut memuat naik sebuah video di Instagram peribadinya memaklumkan perkembangan kesihatannya.
Dalam masa sama, negarawan berusia 96 tahun itu dan keluarga mengucapkan terima kasih atas doa, ucapan selamat, kiriman bunga dan kad ucapan dari orang ramai.
BACA SEMUA BERHUBUNG TUN DR MAHATHIR DI SINI
"Saya ucapkan terima kasih kepada semua yang mendoakan untuk pemulihan saya. Ramai yang menghantar bunga, kad dan sebagainya. Untuk itu, saya ucapkan terima kasih," kata Dr Mahathir.
"Harapan saya, agar saya pulih sepenuhnya," tambahnya.
Beliau akan terus menjalani rawatan pemulihan dan buat masa ini dinasihatkan untuk tidak menerima kunjungan pelawat.
#Mahathir Mohamad #Institut Jantung Negara #perubatan jantung #Instagram
;