Tun Mahathir dibenar keluar dari IJN
Hilmi Malik
Februari 5, 2022 13:37 MYT
Februari 5, 2022 13:37 MYT
KUALA LUMPUR : Tun Dr Mahathir Mohamad dibenarkan keluar dari Institut Jantung Negara (IJN) pada pukul 8.40 pagi ini.
Menurut IJN, bekas Perdana Menteri itu sebelum ini menerima rawatan di IJN dan dibenarkan pulang untuk berehat di rumah.
“Beliau (Tun Dr Mahathir) kini dibenarkan pulang dan berehat di rumah dan akan menjalani rawatan susulan di IJN.
“Tun Dr Mahathir serta Tun Dr Siti Hasmah turut mengucapkan penghargaan buat semua pihak yang mendoakan kesihatannya sepanjang Tun Dr Mahathir menjalani rawatan di IJN,” kata IJN dalam kenyataan yang dikeluarkan.
Negarawan berusia 96 tahun itu sebelum ini dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Koronari (CCU), IJN.
Dr Mahathir juga menjalani sesi fisioterapi dan prosedur perubatan lanjut sepanjang di pusat rawatan berkenaan.
Pada Jumaat, Dr Mahathir dalam hantaran di akaun media sosialnya memaklumkan, sejak 2 Februari (Rabu) lalu, beliau dibenarkan pulang ke rumahnya di The Mines, Sungai Besi dari pukul 8 pagi hingga 4 petang.
Bagaimanapun, bekas Perdana Menteri itu perlu kembali bermalam di IJN bagi tujuan menjalani rawatan pemulihan di IJN yang melibatkan sesi fisioterapi dan prosedur perubatan lanjut.
"Saya balik ke rumah setiap hari, dari pagi hingga petang dan akan balik ke hospital kerana ada prosedur yang perlu diteruskan," kata Dr Mahathir.