Tun Mahathir cadang wujudkan kursus akhlak di peringkat tadika
T K Letchumy Tamboo
April 11, 2016 19:02 MYT
April 11, 2016 19:02 MYT
Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mencadangkan supaya diwujudkan kursus akhlak dan nilai-nilai murni kepada anak-anak di peringkat tadika.
Menurutnya, ini berikutan kegagalan dasar pendidikan negara dalam pembangunan insaniah.
"Satu kursus akhlak dan nilai-nilai baik perlu diajar kepada anak-anak kita dari peringkat tadika lagi," katanya semasa forum Pembinaan Negara Bangsa Melalui Pendidikan di Muzium Kesenian Islam di sini, hari ini.
Kata Dr Mahathir, ibu bapa di zaman sekarang tidak lagi meluangkan masa berkualiti dengan anak-anak mereka.
"Jadi, mereka tidak dapat mengajar nila-nilai yang betul kepada anak-anak mereka. Oleh kerana ibu bapa tidak boleh melakukannya, kerajaan perlu melakukannya.
“Kerajaan mesti melakukannya melalui pendidikan, melalui sekolah. Dari tadika dan seterusnya, mereka perlu diajar apa yang betul, apa yang salah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada mampukah dasar pendidikan yang sedia ada, boleh membangunkan negara serta apakah yang harus dilakukan sekiranya tidak.
Tambah Dr Mahathir, sekiranya anak-anak tidak mendapat didikan akhlak yang sempurna, mereka mungkin akan belajar daripada sumber-sumber lain yang kurang baik.