Tun Mahathir cadang cukai dalam talian, pacu ekonomi ASEAN

Harits Asyraf Hasnan
Jun 22, 2019 04:00 MYT
Dr Mahathir berpandangan negara anggota ASEAN perlu menimbang semula beberapa perkara supaya mereka boleh menerima sebahagian daripada cukai tersebut. - Foto BERNAMA
Isu cukai perniagaan atas talian menjadi antara perkara yang diutarakan Malaysia pada sesi pleno melibatkan 10 pemimpin anggota ASEAN sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-34 pada Sabtu.
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, perniagaan atas talian hanya memberi keuntungan kepada negara di mana sesebuah syarikat itu beroperasi.
Malah, tegas beliau, perniagaan atas talian juga menyebabkan perniagaan secara konvensional terjejas sekaligus terpaksa gulung tikar.
“Perniagaan atas talian ini, kita tidak tahu siapa yang untung dan ia ‘memakan’ bisnes biasa. Macam Amazon.com, saya kata (mengambil contoh), Amazon jual buku, jadi kedai buku tutup sebab saya boleh jual secara atas talian.
“Jadi sekarang ini, kalau dijual secara terus atas talian, perniagaan kita pun kurang dan cukai kita pun kurang.
“Tapi siapa yang dapat kutip cukai? Kalau ia (cukai) dikutip di tempat (negara) yang mereka beroperasi, di situ ia (sesebuah negara) ambil untung, kita tidak dapat apa,” katanya kepada media Malaysia selepas Majlis Makan Malam Gala sempena perhimpunan 10 negara anggota kesatuan Asia Tenggara itu di sini malam tadi.
BACA: RCEP: Malaysia kekal pendirian perdagangan adil, bebas - Azmin
Justeru, beliau berpandangan negara anggota ASEAN perlu menimbang semula beberapa perkara supaya mereka boleh menerima sebahagian daripada cukai tersebut.
Mengulas berkenaan pembangunan ekonomi rantau ini, Dr Mahathir berkata, antara isu yang turut dibangkitkan adalah usaha untuk menggalakkan perdagangan intra-ASEAN.
“Ada perkara lain juga berkenaan dengan kejasama ASEAN. Kita (ASEAN) dapati, perdagangan intra-ASEAN sangat kecil.
“Kita perlu ada satu usaha khusus untuk adakan perdagangan intra-ASEAN,” katanya.
Negara ASEAN merupakan pilihan pelabur terbesar di rantau ini. Pada 2017, perdagangan ASEAN melonjak 14 peratus, iaitu dengan nilai dagangan sekitar AS$2.6 trilion.
Daripada jumlah itu, 29 peratus merupakan perdagangan intra-ASEAN.
#ASEAN #cukai #ekonomi #Mahathir Mohamad #Malaysia #perniagaan atas talian #perniagaan konvensional
;