'Tun Mahathir bukan faktor PH menang' pandangan peribadi Rafizi - Mukhriz
Bernama
Mei 29, 2018 18:01 MYT
Mei 29, 2018 18:01 MYT
Kenyataan Rafizi Ramli mengenai Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bukan faktor kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) adalah pendapat peribadi Naib Presiden PKR itu, kata Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
Mukhriz yang juga Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) berkata Rafizi sepatutnya tidak mempersoalkan faktor kemenangan itu sebaliknya akur dengan kemenangan yang dicapai bagi membolehkan PH membentuk kerajaan Persekutuan dan beberapa kerajaan negeri.
"Kita merasakan faktor kemenangan itu tidak patut timbul lagi. Sebenarnya, yang penting sekarang keputusan dah diketahui dan kerajaan dah dibentuk, jadi saya kata isu-isu seperti itu tak perlu dibangkitkan.
"...kerana hubungan di kalangan ahli politik sekarang sangat akrab dan sangat baik, kita kena elak usaha yang mengganggu-gugat empat parti PH dan Parti Warisan Sabah," katanya kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Sumbangan Ihya Ramadan kepada Masjid-Masjid daerah Kubang Pasu di sini, pada Selasa.
Beliau mengulas laporan portal The Malaysia Insight yang memetik Rafizi sebagai berkata bahawa populariti Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bukanlah faktor kemenangan PH dalam PRU14 sebaliknya isu kenaikan kos sara hidup serta pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) membolehkan PH menumbangkan Barisan Nasional (BN).
Rafizi, bekas Anggota Parlimen Pandan, berkata perkara itu dibuktikan menerusi tinjauan pasca PRU14 oleh Invoke Malaysia, yang mendapati pengundi lebih terkesan dengan dua isu itu berbanding taat setia kepada Dr Mahathir.
-- BERNAMA