Tun Mahathir bakal terima anugerah tertinggi Kerajaan Pakistan

Harits Asyraf Hasnan
Mac 20, 2019 20:04 MYT
enganugerahan itu bakal berlangsung dalam sebuah majlis khusus buat Dr Mahathir pada Jumaat ini. - Gambar fail
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bakal menerima anugerah awam tertinggi Kerajaan Pakistan sempena sambutan Hari Pakistan pada 23 Mac ini.
Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Pakistan, Ikram Mohammad Ibrahim berkata anugerah Nishan-e-Pakistan atau “Order of Pakistan” itu akan dianugerahkan oleh Presiden Pakistan, Dr Arif Alvi.
“Dari segi kategori, Nishan-ePakistan adalah yang tertinggi daripada lima kategori yang ada. Ini bermakna, Nishan-e-Pakistan adalah simbol yang tertinggi.
“Pada lawatan rasmi PM kali pertama 1984, beliau telah dianugerahi Nishan-e-Quaid-i- Azam. Jadi bagi pihak kami, ini merupakan satu anugerah yang begitu tinggi oleh pihak kerajaan Pakistan terhadap Dr Mahathir,” katanya pada sidang media bersama wakil media Malaysia sempena lawatan rasmi Dr Mahathir ke republik Islam itu bermula Khamis hingga Sabtu ini.
Penganugerahan itu bakal berlangsung dalam sebuah majlis khusus buat Dr Mahathir pada Jumaat ini.
Lawatan kali pertama Dr Mahathir sejak menjawat semula jawatan sebagai Perdana Menteri adalah atas jemputan daripada rakan sejawatnya, Imran Khan sebagai tetamu utama sempena sambutan Hari Pakistan pada Sabtu ini.
Semasa lawatan tersebut, kedua-dua Perdana Menteri akan mengadakan Mesyuarat Dua Hala untuk memberi peluang kepada kedua-dua pihak menilai prestasi semasa hubungan dua hala dan mengenal pasti ruang kerjasama lain yang boleh diterokai untuk manfaat bersama kedua-dua negara termasuk dari segi politik, keselamatan, ekonomi, perdagangan dan pelaburan.
Katanya, kedua-dua pemimpin juga akan merasmikan upacara simbolik pecah tanah kilang PROTON di Pakistan selain menyaksikan majlis tandatangan beberapa Memorandum Persefahaman antara sektor swasta.
Malaysia dan Pakistan mempunyai hubungan substantif dua hala yang telah terjalin sejak sekian lama.
Pada tahun 2018, jumlah perdagangan dua hala di antara kedua-dua negara mencatatkan nilai sebanyak RM5.91 billion iaitu peningkatan sebanyak 2.5 peratus berbanding jumlah RM5.76 billion yang dicatatkan pada tahun 2017.
Pakistan merupakan rakan perdagangan Malaysia yang ketiga terbesar dalam kalangan negara-negara Asia Selatan.
#Ikram Mohammad Ibrahim #Imran Khan #Kerajaan Pakistan #Mahathir Mohamad #Malaysia #Nishan-ePakistan #Perdana Menteri #perdana menteri pakistan #Presiden Pakistan #Tun Mahathir terima anugerah
;