Tun Mahathir bakal hadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-35 di Bangkok
Najib Aroff
Oktober 30, 2019 15:20 MYT
Oktober 30, 2019 15:20 MYT
Ibu kota Thailand, Bangkok, sekali lagi bakal menjadi tumpuan pemimpin ASEAN dan dunia bagi Sidang Kemuncak ASEAN ke-35 dan sidang-sidang berkaitan bermula 31 Oktober hingga 4 November.
Ini merupakan persidangan kali kedua buat Thailand selaku Pengerusi selepas menjayakan Sidang Kemuncak ke-34 pada Jun lalu.
Malaysia akan diketuai Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang dijangka tiba di kota Bangkok pada 1 November ini.
Setakat ini jadual rasmi acara yang akan dihadiri perdana menteri masih belum dikeluarkan dan akan dikongsi bersama oleh Duta Malaysia ke Thailand iaitu Datuk Jojie Samuel.
Namun berdasarkan jadual tidak rasmi Pejabat Perdana Menteri, Dr Mahathir dijangka akan mengikuti beberapi sesi antaranya sesi dialog Perdana Menteri di Sidang Kemuncak Pelaburan dan Perniagaan ASEAN (ABIS) dan sudah pasti Sidang Kemuncak ASEAN.
Pertemuan kali ini amat signifikan memandangkan ekonomi dunia berdepan suasana tidak menentu dan pembangunan yang terganggu dan amat penting melihat kepada peranan ASEAN sebagai zon yang utuh dari segi kerjasama dan ekonomi dalam berdepan cabaran ekonomi global.
Antara sidang berkaitan yang dijangka menjadi tumpuan adalah Sidang Kemuncak Asia Timur yang dijangka berfokus kepada memuktamadkan Perjanjian Ekonomi Komprhensif Serantau (RCEP).
Rundingan RCEP sudah berlangsung selama tujuh tahun dan jika rundingan di Thailand ini berjaya, besar kemungkinan RCEP dapat dimuktamadkan di Hanoi tahun hadapan ketika Vietnam menyambut baton sebagai Pengerusi ASEAN 2020.
Selain itu, Sidang Kemuncak Asia Timur juga akan menyaksikan enam sidang lain melibatkan ASEAN bersama China, Jepun, Amerika Syarikat, India dan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) serta ASEAN campur tiga iaitu bersama China, Jepun dan Korea Selatan.
Perdana Menteri juga dijangka akan menghadiri kesemua sidang ini yang akan menyentuh isu-isu mendesak utama seperti krisis pelarian Rohingya, Perang Dagang Amerika dan China, Hubungan tegang Korea Selatan dan Jepun, Ketegangan di Laut China Selatan, perubahan iklim dan reformasi Ogranisasi Dagangan Dunia.
Penutup kepada Sidang Kemuncak ini amat penting buat tuan rumah Thailand sebagai ukuran kejayaan sebagai Pengerusi dalam mengukuhkan neautraliti ASEAN, mempromosi multilaterism, pembangunan mampan, mempersiapkan ASEAN untuk revolusi industri ke-empat, dan mengukuhkan dialog ASEAN bersama ahli dan rakan dagang lain.