Tun Mahathir antara pemimpin terawal berucap di Sidang Kemuncak NAM ke-18
Hasimi Muhamad
Oktober 23, 2019 19:57 MYT
Oktober 23, 2019 19:57 MYT
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad antara pemimpin terawal yang diberi penghormatan untuk menyampaikan kenyataan Malaysia pada Sidang Kemuncak Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) pada 25 Oktober di Baku, Azerbaijan.
Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, kerajaan Malaysia masih mengganggap bahawa peranan NAM sangat relevan dan perlu diperkasakan dalam kalangan anggota negara NAM.
Ia selari dengan tema sidang kemuncak ke-18 kali ini iaitu "Berpegang Kepada Prinsip Bandung bagi Memastikan Tindak Balas Bersama dan Mencukupi dalam Menghadapi Cabaran Dunia Semasa".
Justeru itu, jelas Saifuddin, Perdana Menteri dalam kenyataan pada sesi debat umum dijangka menekankan kepentingan organisasi tersebut dalam menangani cabaran dunia globalisasi.
"Di dalam negara-negara anggota NAM sudah mula timbul kerisauan sekiranya NAM sudah ini melencong daripada objektifnya yang asal. Oleh kerana itu, sejak beberapa tahun kebelakangan ini ada tulisan-tulisan dan perbahasan yang menyoal tentang organisasi antarabangsa NAM masih relevan.
"Bagi Malaysia, NAM masih relevan kerana perlu mempunyai organisasi antarabangsa yang bersifat berkecuali dan adil dan diharap ia dapat melegakan ketengangan di pentas antarabangsa," katanya, di sini, pada Rabu.
Beliau berkata demikian pada sidang media bersempena dengan Sidang Kemuncak NAM ke-18 yang dijadual berlangsung secara rasmi di Baku, Azerbaijan pada 25 dan 26 Oktober ini.
Jelas Saifuddin, sebagai organisasi kedua terbesar selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), NAM menjadi platform penting dalam membicangkan prinsip-prinsip Bandung dari sudut kepentingan multilateral.
"Kerana akhir-akhir ini juga ini seperti yang diucapkan oleh Perdana Menteri di PBB bahawa ada sesetengah kuasa besar dan negara-negara tertentu yang seakan membelakangkan resolusi-resolusi PBB," katanya.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, penyertaan Malaysia dalam NAM sejak tahun 1970 dan sehingga kini adalah penting untuk mencerminkan komitmen berterusan Malaysia kepada pergerakan tersebut.
"Saya kira NAM satu platform yang penting dari sudut kerjasama dengan negara-negara yang memang kita mempunyai minat yang besar seperti negara-negara Afrika dan negara Selatan.
"Walaupun setiap satu negara itu mempunyai platform masing-masing tetapi kita melihat bahawa di samping NAM itu sendiri, penglibatan kita di NAM juga adalah kaedah diplomasi untuk menunjukkan kebersamaan kita dengan negara-negara lain yang terlibat dengan NAM," katanya.
Untuk rekod, NAM akan meraikan ulang tahun ke-65 Prinsip Bandung pada tahun 2020.
Prinsip ini diambil sempena Persidangan Bandung yang diadakan di Indonesia pada 1955 dan dijadikan konsep asas kepada NAM. Ia juga sebagai landasan kepada pergerakan NAM, yang antaranya memperjuangkan rasa hormat terhadap kedaulatan dan intergriti semua negara.
Selain itu, tambah Saifuddin, Dr Mahathir turut dijangka menyentuh beberapa isu kemanusiaan termasuk membabitkan isu Palestin, Rohingya, selain berkaitan hal wilayah Laut China Selatan.
Dalam pada itu, Perdana Menteri dijadual mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan-rakan sejawat bagi membincangkan isu berkepentingan bersama.
Perjumpaan tersebut dijangka mengeratkan hubungan dua hala yang sedia terjalin dengan negara-negara berkenaan, serta mengukuhkan persefahaman antara pemimpin dalam isu serantau dan antarabangsa.
Untuk tempoh tiga tahun (2019-2022), Azerbaijan akan menjadi Presiden NAM yang merupakan platform antarabangsa kedua terbesar di dunia.
Sidang Kemuncak NAM ke-18 dijangka dihadiri oleh 17 wakil ketua negara termasuk seorang raja dan lima perdana menteri.
#Azerbaijan
#Baku
#Mahathir Mohamad
#NAM
#PBB
#Perdana Menteri
#Pergerakan Negara-Negara Berkecuali
#Saifuddin Abdullah
#sidang kemuncak