Tun M saran sistem pendidikan dipinda
Hasimi Muhamad
Disember 15, 2020 13:26 MYT
Disember 15, 2020 13:26 MYT
KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mencadangkan sistem pendidikan negara perlu dikaji semula seiring dengan perkembangan teknologi semasa.
Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, pindaan perlu dilakukan bagi menyesuaikan dengan keperluan murid-murid dan anak muda pada masa sekarang.
Bagaimanapun, kata Dr Mahathir, perkara tersebut tidak ditekankan dalam peruntukan Belanjawan 2021 bagi Kementerian Pendidikan (KPM).
Justeru, tegas Dr Mahathir, beliau menetapkan pendirian untuk tidak menyokong peruntukan Belanjawan 2021 bagi kementerian tersebut susulan tidak 'menepati' kriteria tersebut.
"Saya harap pihak kerajaan akan kaji dan perkenal cara mengajar zaman teknologi ini. Melalui internet, kita boleh dapat pelajaran dari guru pakar.
"Guru darjah akan memimpin pelajar mengikuti pelajaran yang sudah disediakan oleh guru pakar.
"Sudah tentu dalam mempelajari bahasa Inggeris kursus yang disedia oleh pakar, yang membolehkan kita dengar perkataan-perkataan yang betul serta susunan ayat, akan permudah kita mengikuti dan mengulangi apa sahaja berkali-kali sehingga terlekat di hati.
"Sesungguhnya dasar dan cara pendidikan perlu dikaji dan dipinda supaya lebih sesuai dengan keperluan anak muda di masa hadapan. Demikian juga dengan cara menyampai ilmu kepada penuntut di semua peringkat.
"Saya dapati tidak ada apa-apa cadangan dalam belanjawan untuk pendidikan ke arah ini. Sebab itu saya tidak dapat sokong peruntukan bagi Kementerian Pendidikan bagi tahun 2021," demikian katanya ketika sesi Perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 bagi KPM di Dewan Rakyat di sini, pada Selasa.
Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, penggunaan dan penguasaan bahasa Inggeris dalam sistem pendidikan perlu terus digalakkan terutama dalam pembelajaran Sains dan Matematik.
Beliau mengakui bahawa pendidikan agama Islam adalah wajib untuk umat Islam, namun penting untuk mempersiapkan diri bagi jaminan masa depan.
"Di zaman ini ilmu sains dan matematik amatlah penting. Ilmu-ilmu ini tidak statik tetapi berubah-ubah sepanjang masa hasil kajian yang dibuat oleh para penyelidik.
"Hampir semua dari kajian ini disedia dalam Bahasa Inggeris. Menterjemah ke dalam Bahasa Kebangsaan memerlukan pakar sains yang terpelajar dalam ilmu sains, serta fasih dalam Bahasa Melayu dan Inggeris.
"Oleh kerana ilmu-ilmu baru ini amat banyak dan luas, menterjemah memerlu ramai pakar sains yang fasih dalam bahasa-bahasa berkenaan. Kita tidak ada penterjemah seperti ini," katanya lagi.
Tambah Dr Mahathir, jika ilmu Sains dan Matematik diajar dalam bahasa Inggeris, penuntut boleh akses semua ilmu baharu yang relevan sendiri, tanpa pakar penterjemah.
KPM menerima peruntukan terbesar membabitkan sebanyak RM50.4 bilion yang meliputi 15.6 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan kerajaan bawah Belanjawan 2021.
#Mahathir Mohamad
#Dewan Rakyat
#pendidikan
#Kuala Lumpur
#Perdana Menteri
#Kementerian Pendidikan
#Belanjawan 2021