Tun M: Penubuhan polis Islam tidak akan selesaikan masalah orang Islam

Aizat Sharif
Januari 28, 2014 17:54 MYT
Cadangan untuk mengadakan polis Islam atau polis ‘Syariah’ untuk penguatkuasaan undang-undang Islam perlu diperhalusi dengan lebih mendalam kerana ianya tidak akan menyelesaikan masalah-masalah orang Islam.
Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam tulisan terbaru dalam blog beliau, Chedet berkata beliau tidak bersetuju dengan cadangan ini kerana ianya tidak akan dapat menyelesaikan masalah orang Islam.
“Saya sembahyang, puasa, keluar zakat dan buat kerja haji bukan kerana polis akan tangkap saya jika saya tidak. Saya mengucap dua kalimah syahadah juga bukan kerana takut ditangkap. Saya tunaikan apa yang diwajibkan keatas saya kerana saya beragama Islam, kerana kepercayaan dan iman,” katanya dalam tulisannya itu.
Beliau menambah, undang-undang Islam dan perlaksanaannya di negeri-negeri Malaysia juga tidak sama dan pelawat ke negeri-negeri yang berbeza undang-undang Islam akan terjebak dengan amalan-amalan yang berbeza dengan amalan di negeri masing-masing.
“Kita sudah lihat di sebuah negara jiran yang mempunyai polis Islam dan masalah yang dihadapi oleh mereka. Oleh hal demikian, tidak ada paksaan dalam Islam. Janganlah kita jadikan agama Islam agama “Police State,” katanya lagi.
Namun apa yang penting disini menurutnya ialah didikan tentang sifat-sifat yang perlu ada pada invidu Islam di negara ini.
“Kita lihat jenayah seperti rogol, buang bayi, penagihan dadah dan bermacam lagi jenayah lebih melibatkan orang Islam. Yang perlu ditangani ialah masalah-masalah ini. Kenapakah orang Islam yang terlibat dan kurang benar orang bukan Islam yang terlibat? Undang-undang sama tetapi perlakuan jenayah tidak sama. Tentu ada sebab,”.
Dr Mahathir berpendapat sementara orang Islam diajar untuk mengamalkan ibadah-ibadah tertentu, mereka juga harus disemai dengan nilai hidup, kewajiban dan larangan Islam seperti tidak mengambil benda yang bukan kepunyaan diri sendiri, mengawal nafsu, menghormati ibubapa dan keluarga dan bermacam lagi.
Dalam dunia yang serba canggih ini, Dr Mahathir berpendapat ibu bapa pada masa kini tidak berupaya mendidik anak-anak mereka maka sekolah yang perlu mengambil alih tugasan ini.
“Persepsi berkenaan dengan amalan-amalan oleh orang Islam juga tidak sama. Penguatkuasa akan lebih terpengaruh dengan persepsi ini, bahkan oleh persepsinya sendiri. Anggota polis tidak mungkin terdiri daripada yang arif dalam agama Islam. Diantara ulama pun terdapat perbezaan pendapat,” tambahnya lagi.
Terdapat lelaki yang perlu diasingkan dengan wanita dalam pasar di sesebuah negeri namun akan ada juga wanita yang membeli-belah bersama suami dan persoalannya adakah mereka mesti diasingkan apabila membeli belah.
Tambah Dr Mahathir, di satu negeri lain pula, pemakaian tudung mungkin diwajibkan dan terdapat seluar yang dipakai oleh seseorang mungkin terlalu ketat.
“Soalnya setakat mana longgar yang dibenar oleh polis?. Kita akan dapati anggota polis Islam mempunyai pandangan yang tersendiri. Yang ortodoks mungkin lebih keras daripada yang lain. Tindakan yang diambil bergantung kepada pandangan mereka,”.
Bagi sesetengah, pelanggaran undang-undang Islam sudah berlaku dan tangkapan perlu dibuat. Bagi yang lain, mungkin tidak.
“Semakin lama semakin ketat tafsiran berkenaan undang-undang Islam. Sesiapa yang tidak bersetuju dengan kerasnya sesuatu tafsiran tidak akan berani menyuarakan pendapat kerana takut dituduh tidak Islam,” kata Dr Mahathir.
Ramai yang berpendapat bahawa negara Malaysia adalah negara Islam namun kekurangan pelancong yang datang melawat ke negara ini akan memberi kesan buruk kepada ramai orang termasuk mereka yang bekerja.
“Negara kita menerima ramai pelancong dari luar negeri. Pakaian mereka berbeza-beza. Polis akan tahan pelancong untuk bertanya mereka Islam atau tidak. Jika Islam mereka akan ditangkap atau diheret ke Jabatan Polis Islam. Pelancong bukan Islam tidak akan senang dengan disoal oleh polis,” .
Oleh hal demikian, pelancong yang berkunjung ke negeri-negeri yang mempunyai pandangan, amalan, tafsiran dan undang-undang Islam yang berbeza ini akan membuatkan mereka berasa tidak senang dengan perkembangan ini.
“Kita mempunyai penduduk pelbagai agama. Pakaian dan tingkah-laku mereka tidak sama. Tentulah aneh jika mereka boleh buat apa sahaja tanpa sebarang tindakan. Tentu akan ada desakan yang bukan Islam juga perlu dipengaruhi dengan piawaian Islam. Maka akan berlakulah ketegangan antara orang Islam dan bukan Islam,” .
Penulisannya itu merujuk kepada cadangan Kementerian Dalam Negeri untuk mewujudkan sebuah pasukan polis khas bagi membanteras penyebaran ajaran sesat dan fahaman Syiah di negara ini.
#chedet #polis Islam #syariah #TUN DR MAHATHIR
;