Tun M: Operasi di Lahad Datu suatu tindakan wajar
Astro Awani
Mac 5, 2013 06:49 MYT
Mac 5, 2013 06:49 MYT
Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan operasi menghapuskan penceroboh asing di Lahad Datu adalah suatu keputusan yang bertepatan.
Jelasnya, tindakan berkenaan bakal memberi kesan positif khususnya bagi melindungi kepentingan dan keselamatan awam.
Operasi yang dilakukan katanya, mengambil kira pelbagai aspek dan dibuat selepas penyelesaian tanpa pertumpahan darah gagal.
"Sekiranya ada mana-mana pihak mendarat ke negara ini dengan senjata, kita berhak melawan mereka menggunakan senjata. Bagaimanapun kita dengan sengaja menunggu selama 20 hari sebelum bertindak terhadap hanya kerana mereka membunuh pasukan polis kita,” kata Mahathir.
Mahathir menyangkal dakwaan sesetengah pihak dimana kerajaan dituduh lambat bertindak terhadap kumpulan pengganas bersenjata.
"Ini adalah satu gerakan yang agak kompleks kerana kerajaan tidak boleh serang balas dengan begitu sahaja. Kalau kita serang balas mungkin penduduk di situ akan jadi mangsa," ujarnya.
Mengenai tindakan beberapa kumpulan di Filipina yang menyelar tindakan Malaysia menyerang kumpulan penceroboh itu, beliau berkata pasukan keselamatan negara berhak melawan kerana mereka telah menceroboh dan membunuh.