Tun M negarawan dunia, tidak sepatutnya dijadikan 'kambing hitam' - Abdul Hadi

Astro Awani
Mac 3, 2020 16:24 MYT
Menurut Abdul Hadi, langkah yang diambil Dr Mahathir ketika mengambil alih tampuk pemerintahan negara selepas PRU-14 wajar dipuji dan dihormati. - Gambar fail
Tun Dr Mahathir Mohamad yang disifatkan sebagai negarawan dunia, kata Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang seharusnya dihormati oleh semua pihak.
Bekas Perdana Menteri itu, tegas Abdul Hadi, dalam masa sama, tidak sepatutnya dijadikan sebagai 'kambing hitam' oleh segelintir pemimpin yang gilakan jawatan.
Sumbangan dan jasa besar Dr Mahathir terhadap negara khususnya ketika mengambil alih tampuk pemerintahan negara selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 2018 wajar dipuji dan dihormati.
"Perlu dihormati Tun Mahathir yang sangat berjasa kepada negara ini supaya jangan dikorbankan menjadi kambing hitam oleh pemimpin yang gila jawatan sehingga nafsunya mengatasi akal dan sanggup menjadikan matlamat menghalalkan segala cara, tanpa nilai maruah diri, agama, bangsa dan negara.
"Sehingga mengheret ahli politik melakukan perkara yang kotor, menjatuhkan maruah, mendedahkan keaiban dan dosa yang lebih baik disembunyikan dan bertaubat kepada Allah SWT serta bermaafan," kata Ahli Parlimen Marang itu dalam tulisannya pada Selasa.
Menurut Abdul Hadi, langkah Dr Mahathir sejak mengambil alih pentadbiran dan menangani kerajaan dengan aman dalam usianya tanpa huru-hara seperti negara lain menjadi contoh sebagai seorang negarawan dunia yang akan disimpan dan sentiasa dikenang dalam lipatan sejarah.
Malaysia, kata Abdul Hadi, berdepan dengan kemelut politik yang membawa kepada kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) selepas Dr Mahathir meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri.
Kemelut politik itu juga, jelas beliau, memaksa penglibatan kuasa Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyelesaikan ketidakstabilan politik negara yang melanda sejak beberapa minggu lalu.
“Namun dengan pertolongan Allah Taala jua, KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong mendapat hidayah dalam menangani masalah politik negara yang tidak melibatkan Baginda secara langsung dalam urusan yang paling kusut dan rumit ini.
"Langkah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja yang tidak berpolitik dapat menangani krisis politik yang sukar ini dengan hidayah Allah SWT, diucapkan syukur dan junjung kasih,” kata beliau lagi.
Dalam pada itu, Abdul Hadi turut berterima kasih kepada Sabah dan Sarawak kerana berjaya menahan kesakitan daripada kemelut politik yang berlaku.
"Sekalung terima kasih kepada Sabah dan Sarawak, para pemimpin dan rakyatnya yang berada dalam jasad Malaysia menahan kesakitan kerana penyakit yang menjangkiti mereka, namun mereka menjadi sebab sehingga negara bersatu walaupun dipisahkan oleh lautan yang luas," tulis Abdul Hadi lagi.
#Abdul Hadi Awang #Allah #kerajaan #Mahathir Mohamad #Pakatan Harapan #PAS #pembangkang #Perdana Menteri #politik #Yang di-Pertuan Agong
;