Tun M nasihat ISMA jangan huru-harakan negara

Rahimah Abdullah
Mei 9, 2014 21:09 MYT
Tun Dr. Mahathir di majlis pelancaran buku berjudul Reminiscences of Insurrection: Malaysia's Battle Against Terrorism 1960-1990 - Foto Bernama
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menasihatkan Presiden Ikatan Muslimin Malaysia, ISMA, agar merujuk kitab suci Al-Quran sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan kontroversi termasuk mengenai pelaksanaan hukum Hudud.
"Saya berpendapat, jika dia membaca Al-Quran secara teliti, ia menyatakan Allah tidak suka mereka yang melakukan huru-hara atau 'turmoil'dalam negara,"
"Jadi, beliau sepatutnya merujuk Al-Quran," katanya dalam sidang media selepas pelancaran buku berjudul Reminiscences of Insurrection: Malaysia's Battle Against Terrorism 1960-1990 di Wisma Perwira ATM, di ibu negara.
Pada masa sama, Dr. Mahathir juga menggesa Presiden ISMA itu berhenti mengeluarkan kenyataan yang menggugat keharmonian dalam masyarakat.
Beliau merujuk kepada kenyataan Abdullah Zaik yang mengaitkan kaum Cina yang datang ke Tanah Melayu sebagai penceroboh.
"Dia tidak menolong mententeramkan keadaan, tidak payahlah kata,simpan untuk dirinya sendirilah," jelasnya.
Kata beliau, sebarang kenyataan yang mengguriskan perasaan mana-mana kaum tidak memberikan kebaikan kepada negara.
"Ia tidak menyumbang apa-apa kebaikan kepada negara ini. Malah, kaum cina ada di dalam negara, mereka adalah warganegara Malaysia dan mereka ada hak mereka," tegasnya.
Presiden ISMA, Abdullah Zaik pada Selasa dalam satu kenyataan menyifatkan kaum cina yang datang ke Tanah Melayu sebagai 'penceroboh' dan mempersoalkan kerakyatan dan kekayaan yang diberikan kepada mereka.
Pada masa sama, beliau dalam satu sidang media juga mencadangkan hukum hudud bukan sahaja dilaksanakan kepada orang Islam, malah kepada orang bukan Islam.
#hudud #ISMA #Tun Mahathir
;