Tun M nafi 'bertanggungjawab' jadikan Muhyiddin Perdana Menteri
Firdaus Azil
Mei 9, 2021 18:52 MYT
Mei 9, 2021 18:52 MYT
KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menafikan beliau adalah individu yang ‘bertanggungjawab’ membuat percaturan politik bagi membolehkan Tan Sri Muhyiddin Yassin memegang jawatan ketua badan eksekutif itu.
Dalam wawancara khas bersama akhbar Mingguan Malaysia hari ini, Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, beliau sendiri merupakan mangsa terhadap percaturan yang disebut-sebut sebagai ‘Langkah Sheraton’.
Jelasnya, biarpun ada usaha pihak-pihak tertentu untuk memasukkannya ke dalam percaturan itu, namun, Dr Mahathir bertegas bahawa beliau sama sekali tidak akan berada pada pihak yang sama dengan seorang lagi bekas Perdana Menteri – Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Ada orang yang kata semua ini dirancang oleh Superman. (Bahawa) Dr Mahathir buat rancangan bagi orang itu jatuh dan dia berhenti, ini semua karut. Saya pun jadi victim (mangsa) tindakan dia orang.
“Dia orang nak buat kerajaan baharu, kalau boleh saya juga PM. Ditawar pada saya, tapi saya tolak pasal saya kata saya tidak boleh kerjasama dengan Najib.
“Muhyiddin kata dia boleh. Bila dia kata boleh, saya kata you ambillah. Lagipun kita khianati pengundi kita yang undi kita supaya jatuhkan Najib, sekarang ini kita hidupkan Najib. Itu khianati pengundi. Tak boleh, saya tidak gamaklah macam itu,” katanya dalam wawancara tersebut.
Dr Mahathir kali pertama menerajui negara sebagai Perdana Menteri ialah pada 16 Julai 1981 dan menyandang jawatan itu selama 22 tahun bersama UMNO di bawah gabungan Barisan Nasional (BN).
Pada 2016, beliau mengumumkan keluar daripada UMNO sebagai tanda protes beliau terhadap kepemimpinan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak sekali gus mengasaskan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Setahun selepas itu, ketika berusia 92 tahun, Dr Mahathir kembali ke gelanggang politik sebagai pemimpin barisan pembangkang, Pakatan Harapan (PH).
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU) pada 2018, gabungan PH melakukan kejutan politik dengan meraih kemenangan sekali gus menjatuhkan pemerintahan BN selama 60 tahun sekali gus Dr Mahathir dipilih sebagai Perdana Menteri Malaysia ketujuh.
Beliau bagaimanapun mengumumkan peletakan jawatan secara mengejut pada Februari 2020 dalam krisis politik yang turut mencetus Langkah Sheraton yang akhirnya menyaksikan Muhyiddin dilantik sebagai pengganti Dr Mahathir.
Sehubungan itu, Dr Mahathir menegaskan, beliau sama sekali tidak akan mengkhianati sokongan yang diberikan oleh majoriti rakyat pada Pilihan Raya Umum 2018, untuk menjatuhkan kerajaan BN pimpinan Najib ketika itu.
Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata, ada juga pihak atau ‘broker’ yang cuba mengajak beliau kembali menyertai parti yang diasasnya sendiri iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Tegasnya lagi, pihak berkenaan yang sepatutnya meninggalkan Bersatu dan menyertai beliau kerana mereka berjuang bersama-sama untuk menjatuhkan Barisan Nasional (BN) dahulu.
“Mereka pilih untuk sokong Muhyiddin pasal dapat jadi menteri. Bila kita cakap Bersatu akan kalah dalam pilihan raya pasal dalam pilihan raya UMNO tak akan sokong Bersatu. UMNO akan berlawan dengan Bersatu.
“Jadi kemungkinan Bersatu dipilih, susah dan sudah tentu Muhyiddin tak akan jadi PM. Pasal yang mahu Muhyiddin jadi PM dulu Najib hendak guna Muhyiddin supaya tarik keluar daripada PH (Pakatan Harapan),” katanya lagi.
#Mahathir Mohamad
#Dr Mahathir
#Najib Razak
#Muhyiddin Yassin
#Perdana Menteri
#Barisan Nasional
#UMNO
#PPBM
#Parlimen
#pilihan raya umum
#Malaysia
#Langkah Sheraton