Tun M mahu bawa kuih Pulau Tuba ke seluruh negara
Wan Syamsul Amly
Mei 7, 2018 17:20 MYT
Mei 7, 2018 17:20 MYT
Hasil produk makanan termasuk kuih-muih di Pulau Tuba akan dikomersialkan dan dipromosi ke seluruh negara selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.
Calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, ia susulan beberapa pembangunan seperti pusat latihan industri akan dibina kelak bagi golongan sasar dalam bidang berkenaan.
"Supaya mereka boleh keluarkan kuih-kuih mereka dengan lebih banyak dan ia akan dipasarkan bukan sahaja di Pulau Tuba tetapi tanah Langkawi.
"Ia juga akan dibawa ke tanah besar (Semenanjung) dan luar negara," katanya semasa berucap pada majlis Kenduri Rakyat di sini, hari ini.
Untuk ke pulau ini ada dua pilihan jeti iaitu melalui Jeti Pelancongan Pekan Rabu Langkawi atau Jeti Marble Langkawi.
Perjalanan menaiki bot pula hanya mengambil masa antara 10 ke 15 minit.
Dalam perkembangan berasingan, Dr Mahathir khuatir dengan bilangan undi pos yang didakwa terlalu banyak kini.
"Jika dibandingkan zaman saya menjadi Perdana Menteri, dulu tak banyak, orang yang pergi perang sahaja. tetapi kini, ia (BN) bagi kepada semua orang malah orang kerja hospital pun dapat," katanya.
Sebelum ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan seramai 212,834 orang meliputi pelbagai kategori membabitkan Borang 1A, 1B, 1C dan Pengundi Tidak Hadir (PTH) Luar Negara yang layak mengundi secara pos pada PRU14.
Jumlah pengundi pos dalam kategori permohonan Borang 1A merangkumi petugas pilihan raya, anggota tentera, anggota polis dan petugas media sebanyak 149,730 permohonan.
Bagi kategori permohonan melalui Borang 1B pula, yang daripada warganegara Malaysia yang berada di luar negara, adalah sebanyak 7,979 permohonan.
Selain itu, permohonan melalui Borang 1C adalah pengundi pos yang terdiri anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Imigresen, anggota Polis Sukarelawan (PVR) dan petugas kesihatan di hospital dan klinik kerajaan.
Antara lain ialah anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Penjara dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA). Secara keseluruhan, permohonan dari Borang 1C ialah sebanyak 51,472 permohonan.
Bagi kategori Pengundi Tidak Hadir (PTH) Luar Negara iaitu daripada kalangan penjawat awam yang bertugas di luar negara dan pasangan, serta pelajar sepenuh masa di luar negara dan pasangan, terdapat sebanyak 3,653 permohonan.
Sebelum ini, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, tiada hak pengundi dinafikan pada PRU14, termasuk pengundi Malaysia yang berada di luar negara.
Katanya, fakta sebenar terdapat kira-kira 8,000 pengundi Malaysia yang berada di luar negara dan jumlah itu terlalu kecil jika dibahagikan kepada 222 kerusi Parlimen dan 587 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
#Langkawi
#Mahathir Mohamad
#MalaysiaMemilih
#Nur Jazlan Mohamed
#Pakatan Harapan
#PRU14
#Pulau Tuba
#Tun Mahathir