Tun M kembali kayuh 'gerek' di Putrajaya
Astro Awani
Februari 20, 2022 13:55 MYT
Februari 20, 2022 13:55 MYT
PUTRAJAYA: Selepas beberapa bulan tidak menjalani aktiviti riadah, pagi ini, Tun Dr Mahathir Mohamad mengambil kesempatan mengayuh basikal di Tasik Putrajaya.
Dalam hantaran di halaman Facebook peribadinya, bekas Perdana Menteri itu menarik perhatian para pengikut beliau apabila menulis perkataan ‘gerek’ menggantikan basikal dalam loghat Kedah.
“Di Tasik Putrajaya pagi tadi, kayuh semula setelah beberapa bulan tak dapat kayuh gerek. Gerek ni perkataan Kedah untuk basikal,” kata Dr Mahathir.
Awal bulan ini, negarawan berusia 96 tahun itu dibenarkan keluar dari Institut Jantung Negara (IJN) selepas menjalani prosedur perubatan.
Dalam hantaran sama, Ahli Parlimen Langkawi itu berkongsi kegembiraan dan mengucapkan tahniah melihat orang ramai mengamalkan gaya hidup sihat.
Beliau turut menjelaskan kisah di sebalik Tasik Putrajaya yang menjadi pilihannya untuk beriadah.
“Saya pilih Tasik Putrajaya, tapi tak ramai yang tahu landskap tasik ini sebenarnya diinspirasi daripada Lake Como di Italy dengan perumahan di sekitarnya mengindahkan suasana,” jelas Dr Mahathir lagi.
Turut mengiringi hantaran berkenaan ialah beberapa keping foto Dr Mahathir yang turut disertai isteri beliau, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali berbasikal mengelilingi tasik popular di pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan itu.