Tun M kecewa, dakwa Najib ada tentera sendiri
Harits Asyraf Hasnan
April 3, 2018 17:07 MYT
April 3, 2018 17:07 MYT
Tun Dr Mahathir Mohamad melahirkan rasa kecewa terhadap Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) kerana didakwa tidak menyatakan kesetiaan kepada Raja dan Negara.
Pengerusi Pakatan Harapan itu melahirkan kekecewaan tersebut susulan kenyataan Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor seperti dilaporkan media.
"Kita amat kecewa kerana baru-baru ini Panglima Angkatan Tentera menyatakan ATM akan setia kepada kerajaan (Barisan Nasional) dan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak).
"Itu bertentangan dengan Perlembagaan (Persekutuan), yang mana ATM mestilah setia kepada Raja dan Negara.
"Kini kita dapati, tentera kita akan setia kepada Najib dan Kerajaan. Bermakna, Najib kini telah mempunyai tentera dia sendiri," ujar Mahathir selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di Parlimen hari ini.
Tambahnya, kekecewaan turut dizahirkan terhadap Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun yang dilaporkan selesai menjalankan siasatan berhubung penahanan kapal Equanimity di Indonesia.
"Kita juga dapati Ketua Polis Negara buat kenyataan kononnya pemilikan Equanimity ini bukan Jho Low.
"Dia berkata bahawa polis sudah buat siasatan, tapi apa bukti-buktinya, kita pun tidak tahu," ujarnya.
Media sebelum ini melaporkan Raja Mohamed Affandi menggesa anggota tentera dan polis bersyukur dan setia kepada kerajaan yang diketuai Najib.
#ATM
#kapal
#kecewa
#Mahathir Mohamad
#Najib Razak
#Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor
#setia
#tentera