Tun M gesa penjawat awam bantu pulih negara
Luqman Hariz
Mei 21, 2018 09:48 MYT
Mei 21, 2018 09:48 MYT
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini meminta penjawat awam membantu pentadbirannya memulihkan Malaysia.
“Dulu negara kita dihormati, tetapi sekarang sudah tidak dihormati seperti dulu.
“Menjadi tugas kita semua untuk memulihkan negara supaya kembali dipandang tinggi dan dihormati di seluruh dunia,” katanya dalam ucapan kepada kakitangan Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini.
Ucapan berkenaan menjadi pertemuan pertama Tun Mahathir dengan penjawat awam, selain pertemuannya dengan pentadbiran tertinggi semua kementerian pada 14 Mei lalu.
“Pentadbir menjadi tangan yang terkuat dalam melaksanakan segala urusan untuk membangunkan negara.
“Beberapa tahun lepas, pentadbir tak berkuasa menegur atau menentang, mungkin kerana takut, mungkin kerana disogok, mereka telah melakukan perbuatan tidak baik yang merugikan negara,” tambahnya.
Perdana Menteri berkata ini telah menjadi pemangkin kepada cara pentadbiran tidak sihat yang disaksikan sejak beberapa tahun lalu.
“Kewangan negara dicabul dengan begitu besar sehingga kini kita hadapi masalah penyelesaian hutang sehingga bertrillion ringgit.
“Dulu hutang tak pernah lebih RM300 bilion, tetapi sekarang lebih RM1 triIion,” katanya.
Beliau menambah, kerajaan Pakatan Harapan akan melaksanakan beberapa perubahan dalam sistem pentadbiran negara.
“Tetapi kerajaan hanya akan lakukan perubahan hanya selepas kajian yang mendalam. Saya tidak dapat terangkan apa perubahan-perubahan ini, kerana kita masih tiada maklumat yang cukup,” kata beliau.
Perdana Menteri sekali lagi mengingatkan, kedaulatan undang-undang akan masih menjadi tunjang pentadbirannya, di mana penjawat awam yang didapati menyalah guna kedudukan mereka sebelum ini akan berdepan tindakan undang-undang.
“Kita kena ingat, yang salah adalah salah. Yang salah mesti dihukum oleh undang-undang negara. Hanya dengan cara itu boleh kita bersihkan pentadbiran kita.
“Dengan pentadbiran bersih, maka pulihlah negara kita,” katanya.
#Jabatan Perdana Menteri
#kewangan negara
#Mahathir Mohamad
#negara tidak dihormati
#penjawat awam
#pentadbiran tertinggi
#penyelesaian hutang
#pulihkan malaysia