Bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan menyifatkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak melakukan apa-apa kesalahan sehingga membolehkannya ditangkap polis.

Kata Musa, Dr Mahathir hanya menyuarakan pertanyaan mengenai pelbagai isu dan meminta pihak berkenaan menjawab soalannya dengan jawapan yang memuaskan hatinya.

"Tun Mahathir tidak melakukan kesalahan beliau menyuarakan pertanyaan harap penyiasatan polis dapat menjawab segala pertanyaan Tun," katanya dalam catatan terbaharu di laman Twitternya.


Catatan itu merupakan reaksi daripada kenyataan Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang mahu semua pihak jelas siasatan yang akan dilakukan terhadap laporan polis kepada Dr Mahathir bukan bermakna tangkapan akan dibuat terhadap bekas perdana menteri itu.

Kata Wan Junaidi, prosedur siasatan akan menentukan sama ada Dr Mahathir membuat kesalahan atau sebaliknya.

Dr Mahathir sebelum ini dilaporkan mahu menyelamatkan bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Sirul Azhar Umar yang didakwa dianiaya dalam kes pembunuhan model wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Nak siasat Dr Mahathir kenapa
Terdahulu, Dr Mahathir berkata, dia hanya bertanya siapa yang mengeluarkan perintah kepada dua anggota polis yang didapati bersalah membunuh Altantuya Shaariibuu.

Katanya adalah tidak adil jika Sirul dan Azilah Hadri dikenakan hukuman bunuh kerana mereka hanya mengikut arahan.

Dalam pada itu kata Musa, Dr Mahathir seharusnya tidak dikenakan sebarang tindakan mengikut Akta Hasutan seperti didesak beberapa pihak.

""Sekarang ini Dr Mahathir tidak melakukan kesalahan. Nak siasat Dr Mahathir kenapa?

"Dia hanya tanya, siapa yang memberi arahan (pembunuhan Altantuya)? Adakah itu dianggap hasutan?

"Dr Mahathir hanya hendak tahu siapa mengarah. Jadi, siasatan kalau boleh, menjuruskan kepada untuk mendapat jawapan, ataupun siapa yang mengarah," katanya ketika dipetik laporan Themalaysianinsider.

Pada 8 April lepas, Pertubuhan Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) melancarkan satu siri laporan polis terhadap mantan Dr Mahathir atas dakwaan menghasut.

Antara cawangan SAMM yang telah berbuat demikian termasuk Pahang, Selangor dan Pulau Pinang.

Bagaimanapun, Presiden Gabungan Graduan Melayu Muda (GGMM), Mohd. Khairul Azam Abdul Aziz menyifatkan SAMM sebagai sebuah organisasi berspesis batu api yang tidak akan berpuas hati walaupun 1,000 laporan polis dibuat terhadap bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir.

Tegas Mohd. Khairul Azam, SAMM dilihat tetap akan mempertikaikan prosedur seterusnya walaupun proses kedua dan ketiga melibatkan sistem penghakiman negara dilakukan terhadap Dr Mahathir.