Tun M bakal terima dua anugerah utama di Qatar

Bernama
Disember 10, 2019 18:49 MYT
Dr Mahathir Mohamad bakal menerima dua anugerah utama sempena lawatan rasmi empat harinya ke Qatar bermula Rabu (11 Disember). - Gambar fail
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bakal menerima dua anugerah utama sempena lawatan rasmi empat harinya ke Qatar bermula Rabu (11 Disember).
Kuasa Usaha Kedutaan Besar Malaysia di Qatar, Mohamad Shahir Sabarudin berkata, Dr Mahathir dijadual menerima pengiktirafan itu semasa Anugerah Forum Doha yang akan disampaikan oleh Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani pada Sabtu (14 Disember).
"Semasa lawatan rasmi Perdana Menteri ke Qatar, apa lebih membanggakan kita sebagai rakyat Malaysia, sejarah akan terukir kerana Tun Dr Mahathir bakal menjadi penerima pertama Doha Forum Award," katanya pada sidang media bersama media Malaysia sempena lawatan rasmi Dr Mahathir ke Qatar, di sini pada Selasa.
Mohamad Shahir berkata, pengiktirafan itu diberikan kepada Dr Mahathir atas usaha beliau dalam kepimpinan serta suara dan inisiatif yang dilaksanakan dalam membangun dan memperkenalkan Malaysia di peringkat antarabangsa.
Beliau berkata, Dr Mahathir juga dijadual menyampaikan ucaptama semasa Forum Doha 2019 itu.
Selain itu, Mohamad Shahir berkata, Perdana Menteri juga akan dianugerahkan Ijazah Kedoktoran Kehormat dalam bidang Falsafah oleh Qatar University pada Jumaat (13 Disember).
Mengenai lawatan rasmi itu, Mohamad Shahir berkata, ia adalah kali pertama bakal dilakukan Dr Mahathir selepas dilantik menjadi Perdana Menteri Malaysia ketujuh pada Mei tahun lepas.
Beliau berkata lawatan itu adalah atas jemputan Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani dan kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan pelbagai usaha berterusan untuk mengukuhkan lagi hubungan sedia ada antara Malaysia dan Qatar yang sudah terjalin sejak 1974.
Qatar adalah rakan ekonomi kelima terpenting kepada Malaysia di Timur Tengah. Pada 2018, jumlah perdagangan antara kedua-dua negara berjumlah RM3.72 bilion, meningkat 29 peratus berbanding pada 2017.
Beliau berkata, sektor perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara antaranya melibatkan minyak kelapa sawit, produk elektrik dan elektronik, mesin kelengkapan dan peralatan, pengeluaran logam, produk kayu, makanan diproses, petroleum mentah dan produk kimia.
Pada hari kedua lawatan (Khamis 12 Disember), Perdana Menteri akan mengadakan program rasmi yang padat, termasuk mengadakan pertemuan dengan 'Captains of Industry of Qatar', sebelum diraikan pada Majlis Sambutan Rasmi di Amiri Diwan.
"Selepas sambutan rasmi itu, Tun Dr Mahathir akan melakukan kunjungan hormat ke atas Emir Qatar disusuli dengan pertemuan empat mata antara kedua-dua pemimpin," katanya.
Beliau berkata kedua-dua pemimpin kemudian akan menyaksikan beberapa majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) sebelum Dr Mahathir diraikan pada jamuan tengah hari yang dihoskan oleh Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani.
Pada petang Khamis, Dr Mahathir dijadual mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Yayasan Qatar, Sheikha Moza Nasser Al Missned dan kedua-duanya akan berbincang dalam aspek pendidikan memandangkan yayasan itu berhasrat menjadi hab pendidikan di Timur Tengah.
"Yayasan Qatar ini juga terlibat dalam menaja beberapa pelajar Malaysia yang kini menuntut di Hamad Bin Khalifa University," katanya.
Mohamad Shahir berkata, pada sebelah malam Khamis, Dr Mahathir dijadual menghadiri majlis makan malam bersama diaspora Malaysia di Qatar.
Katanya Dr Mahathir dijangka tiba di sini pukul 9.30 malam Rabu waktu tempatan (2.30 pagi Khamis waktu Malaysia).
Beliau berkata semasa lawatan itu, Dr Mahathir akan diiringi isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu.
Katanya, Perdana Menteri dijadual berlepas pulang ke tanah air pada 12 tengah hari Sabtu waktu tempatan (5.00 petang waktu Malaysia). - BERNAMA
#anugerah #Anugerah Forum Doha #Emir Qatar #Mahathir Mohamad #Perdana Menteri #Qatar #Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani
;