Tun M, Anwar Ibrahim antara tokoh Islam berpengaruh dunia

Nailah Huda
Oktober 4, 2019 11:24 MYT
Dr Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim antara yang tersenarai dalam senarai 500 tokoh Islam paling berpengaruh bagi tahun 2020.
PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sekali lagi tersenarai antara tokoh Islam paling berpengaruh dalam edisi terbaharu senarai 'The Muslim 500' oleh The Royal Islamic Strategies Studies Centre.
Dr Mahathir naik ke tangga ke-42 dari tangga ke-44 dalam senarai sama bagi tahun 2019 dan masih merupakan satu-satunya warga Malaysia di 50 tangga teratas.
Beliau digambarkan sebagai ‘pemenang tekad’ - ini disokong dengan pengalamannya memenangi lima pilihan raya umum berturut-turut ketika menerajui Malaysia sebagai Perdana Menteri untuk kali pertama.
Sementara itu, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga diberi sebutan penghormatan untuk senarai 50 tangga teratas dan turut tersenarai antara 450 tokoh Islam berpengaruh bawah kategori ahli politik.
Isteri Anwar yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail turut tersenarai bawah kategori ahli politik.
Bagi negara jiran, Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) meraih tangga ke-13 dan dipuji atas statusnya sebagai ahli politik yang ‘bersih’ daripada unsur rasuah dan nepotisme.
Selain Jokowi, tokoh Indonesia lain yang turut tersenarai ialah Profesor KH Said Aqil Siradj, pemimpin Nadhalatul Ulama (NU) iaitu antara organisasi Islam terbesar dunia.
“Islam Indonesia bukan seperti Islam Arab; ia tidak perlu memakai jubah, ia tidak perlu memakai serban.. Apa yang penting adalah intipatinya, iaitu moral agama Islam - tidak kira jubah, seluar, atau sarong,” kata Said Aqil dalam biografi di senarai itu.
Presiden Singapura Halimah Yacob pula menjadi satu-satunya wanita yang tersenarai dalam 50 tangga teratas pada tempat ke-38, meningkat dari tempat ke-41 pada tahun lepas.
Untuk kategori tokoh cendekiawan Islam, antara warga Malaysia yang tersenarai adalah Datuk Dr Muhammad Afifi Al-Akiti, Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas, Dr Osman Bakar dan Profesor Mohammad Hashim Kamali.
Bagi kategori pendakwah Islam, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Datuk Mashitah Ibrahim, dan Sheikh Dr Mahmoud MrGlani juga disenaraikan.
Selain itu, Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary tersenarai bawah kategori kedermawanan, Zainah Anwar untuk isu-isu sosial dan Tan Sri Muhammad Ali Hashim untuk kategori perniagaan.
Untuk kategori sains, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor tersenarai manakala Hafiz Hamidun dan Datuk Seri Siti Nurhaliza pula dipetik untuk kategori seni dan budaya.
Gelaran 'Woman of the Year' diraih oleh ahli Kongres Amerika Syarikat etnik Palestin, Rashida Tlaib dan gelaran 'Man of the Year' pula oleh Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan.
Secara keseluruhan, tokoh cendekiawan Islam Sheikh Muhammad Taqi Usmani meraih tempat pertama, Pemimpin Agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei di tempat kedua, dan Putera Mahkota Abu Dhabi, Sheikh Mohammed Zayed Al-Nahyan di tempat ketiga.
#Abdul Hadi Awang #Anwar Ibrahim #Ayatollah #Halimah Yacob #Joko Widodo #Mahathir Mohamad #Sheikh Muszaphar Shukor #Siti Nurhaliza #The Muslim 500 #tokoh Islam berpengaruh #Wan Azizah
;