Tun M akui berlaku 'Tsunami Kaum Cina' pada PRU13
Bernama
Mei 7, 2013 20:34 MYT
Mei 7, 2013 20:34 MYT
Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata keputusan pilihan raya umum ke-13 (PRU13) sememangnya menampakkan berlaku 'tsunami kaum Cina' selain wujud masyarakat Melayu yang tamak.
Dr Mahathir berkata beliau pernah menyentuh perkara itu dalam beberapa kempen pilihan raya sebelum ini, misalnya di Johor, apabila menyatakan negeri itu menyaksikan pelaksanaan konsep perkongsian kuasa yang baik bagi kaum Melayu, Cina dan India.
"... tetapi datang Kit Siang (penasihat DAP Lim Kit Siang), dia membawa konsep Malaysian Malaysia yang bertujuan menimbulkan kebencian orang Cina terhadap kaum Melayu, kononnya dikatakan (Melayu) memiliki segalanya setelah merdeka," katanya kepada pemberita pada satu sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana hari ini.
Beliau berkata situasi itu dilihat berkembang di seluruh negara sehingga menyebabkan kaum Cina menolak persahabatan masyarakat Melayu sekali gus tercetus 'tsunami kaum Cina'.
Dr Mahathir berkata demikian ketika menjawab soalan pemberita berhubung kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang merujuk kekalahan Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman di kerusi Parlimen Gelang Patah lebih kepada faktor 'tsunami kaum Cina', dan menyaksikan mereka lebih cenderung menyokong pembangkang.
Sejurus pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung kemenangan Barisan Nasional (BN) semalam, Najib berkata beliau sama sekali tidak menduga keputusan PRU13 akan berlandaskan sikap perkauman, jauh sekali mencapai peringkat seburuk itu.
Dr Mahathir turut berpendapat kaum Melayu kini semakin lemah dan berpecah-belah kerana sikap tamak mengejar kuasa serta jawatan sehingga mengabaikan perjuangan Melayu itu sendiri, iaitu berkhidmat untuk bangsa, agama dan negara.
"Pada masa sama, tidak boleh kecualikan orang Melayu yang jadi tamak, masing-masing hendak kuasa, tidak kira cara mana. Kalau perlu jual bangsapun, akan mereka jual bagi mendapat apa yang mereka hendak," katanya.
Beliau berkata masyarakat Melayu dilihat tidak memahami konsep sebenar pilihan raya yang diadakan bagi tujuan membentuk sebuah kerajaan, apabila kebanyakan mereka menganggap ia hanya sebagai sebagai platform untuk kepentingan diri semata-mata sehingga berlaku perpecahan.
"Orang Melayu ini tidak faham. Mereka ingat dalam pilihan raya ini untuk mendapat tempat, gaji, peluang dapat kerja, kalau menang jadi Yang Berhormat (YB) yang dapat elaun dan kemudahan, bukan untuk berkhidmat perjuangkan bangsa, agama dan tanah air, mereka lupa sama sekali.
"Mereka tidak nampak pilihan raya sebagai satu cara membentuk kerajaan, tetapi berebut hendak tempat bagi diri sendiri sehinggakan fikir kalau menang akan dapat tempat, keuntungan yang banyak dan dapat projek," katanya.
Sementara itu, Dr Mahathir berkata rancangan pakatan pembangkang untuk mengadakan demonstrasi jika kalah pada PRU13 bertujuan bagi meraih simpati negara barat yang sememangnya dilihat tidak senang hati dengan kemajuan negara ini, terutama dipimpin oleh Melayu dan Islam.
"Islam sekarang ini adalah musuh sejagat kebanyakan orang di barat. Mereka tidak mahu melihat negara di bawah kepimpinan Islam mencapai kemajuan," katanya.
Sehubungan itu, Dr Mahathir berkata barat secara tidak langsung akan menggunakan alasan berkenaan untuk membelasah kerajaan Malaysia sepanjang masa dan menyebabkan Islam menjadi lemah.