Tun Juhar rai tetamu khas di Istana Seri Kinabalu sempena Aidilfitri
Bernama
Mei 2, 2022 15:32 MYT
Mei 2, 2022 15:32 MYT
KOTA KINABALU: Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan isteri, Toh Puan Norlidah R M Jasni hari ini meraikan kira-kira 200 tetamu khas sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri dengan majlis sederhana di Istana Seri Kinabalu.
Majlis itu turut diserikan dengan kehadiran Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan isteri, Datin Seri Julia Salag serta Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Joachim Gunsalam bersama beberapa menteri Kabinet negeri yang lain.
Pelbagai hidangan menarik yang sinonim dengan sambutan Syawal disajikan pada majlis itu antaranya sate, ketupat, lemang dan rendang.
Majlis sambutan itu dianjurkan selepas dua tahun majlis seumpamanya tidak diadakan akibat penularan COVID-19, namun kali ini tanpa kehadiran ribuan rakyat Sabah seperti sambutan sebelum pandemik melanda negara.
Terdahulu, Hajiji yang ditemui media selepas menunaikan solat Aidilfitri di Masjid Negeri menggesa rakyat negeri ini agar terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang COVID-19 sepanjang meraikan sambutan hari raya itu.
Ketua Menteri berkata, SOP yang dikeluarkan di peringkat Persekutuan masih diguna pakai di peringkat negeri Sabah dan sekiranya ada sebarang perubahan akan ditentukan Jawatankuasa Pengurusan COVID-19 peringkat negeri.
"Umat Islam menantikan sambutan Aidilfitri kerana ia melambangkan kemenangan selepas sebulan berpuasa. Kita bersyukur kerana ada kelainan pada Aidilfitri tahun ini berbanding dua tahun lalu ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menghalang umat Islam meraikannya bersama keluarga di kampung halaman.
"Pembukaan semula sempadan negara pada 1 April memberi manfaat kepada rakyat, khususnya umat Islam untuk membuat perjalanan balik kampung dan menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga," katanya.
Hajiji berkata, oleh kerana situasi COVID-19 di seluruh dunia masih belum pulih sepenuhnya rakyat perlu terus mematuhi SOP meskipun kes baharu Sabah berada pada aliran menurun. - BERNAMA