Tun Hanif selamat dikebumi di sebelah pusara anak

Ridauddin Daud
April 20, 2024 15:36 MYT
Allahyarham Mohammed Hanif disemadikan bersebelahan pusara anaknya, Ahmad Jamal Omar yang meninggal dunia pada 2013.
KUALA LUMPUR: Jenazah Allahyarham Tun Mohammed Hanif Omar selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, jam 3.17 petang Sabtu.
Bekas Ketua Polis Negara itu disemadikan bersebelahan pusara anaknya, Ahmad Jamal Omar yang meninggal dunia pada 2013.
Terdahulu, tengah hari tadi, jenazah dimandi dan disembahyangkan di Masjid Negara selepas tiba dari kediamannya di Shah Alam.
Jenazah disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara
Turut hadir mengiringi perjalanan terakhir Allahyarham adalah anaknya, Kapten Abdul Rahmat Omar, ahli keluarga dan saudara-mara serta Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Razarudin Husain.
Timbalannya, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay; bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dan bekas Menteri, Tan Sri Syed Hamid Albar turut dilihat hadir di tanah perkuburan tersebut.
Mohammed Hanif, bekas Ketua Polis Negara yang paling lama berkhidmat itu meninggal dunia pada pada 2.15 pagi tadi.
Allahyarham sangat berjasa kepada PDRM dan negara, banyak terlibat dalam peristiwa penting negara termasuk menjadi Ketua Pegawai Turus (Polis) Majlis Gerakan Negara (18 Mei 1969) berkaitan insiden 13 Mei.
Selain itu, Allahyarham juga bersama-sama dengan Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman hadir ke Persidangan Manila berhubung dengan penubuhan MAPHILINDO pada tahun 1963.
Beliau juga merupakan antara wakil Kerajaan Malaysia dalam Perjanjian Damai yang dimeterai oleh Parti Komunis Malaya (PKM) dengan Kerajaan Malaysia dan Thailand pada 2 Disember 1989 di Hatyai, Thailand.
#Bekas Ketua Polis Negara #tun hanif omar #tanah perkuburan Islam #Bukit Kiara
;